Dua maut, dua parah dalam insiden berbalas tembakan di Pattani

Bernama
Julai 3, 2020 05:28 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, pihak berkuasa mengepung sebuah rumah di Kampung Rawo di Daerah Panare Pattani Selatan Thailand yang dipercayai menjadi tempat persembunyian anggota kumpulan militan. --fotoBERNAMA
Dua termasuk seorang militan maut manakala dua renjer cedera parah dalam satu insiden berbalas tembakan di Daerah Panare, Pattani, Selatan Thailand pada Jumaat.
Ketua Polis Pattani Mej Jen Piyawat Chalermsi berkata dalam kejadian kira-kira 2.00 petang (waktu tempatan), pihak berkuasa mengepung sebuah rumah di Kampung Rawo yang dipercayai menjadi tempat persembunyian anggota kumpulan militan.
"Apabila pasukan keselamatan memasuki perkarangan kampung, mereka ditembak sekumpulan lelaki bersenjata.
"Insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan lelaki bersenjata menyebabkan seorang anggota militan dan seorang sukarelawan maut di tempat kejadian manakala dua renjer cedera parah," katanya.
Beliau menambah kumpulan lelaki bersenjata itu berjaya meloloskan diri dan pihak berkuasa mempergiatkan usaha untuk menjejaki mereka.
Chalermsi berkata siasatan awal mendapati anggota militan yang maut mempunyai dua waran tangkap iaitu pada tahun 2010 dan 2011.
-- BERNAMA
#Kampung Rawo #lelaki bersenjata #maut #militan #Pattani #renjer #senjata #sukarelawan #tembakan #tempat persembunyian #waran tangkap
;