Dua maut dalam insiden tembakan di Zurich
Agensi
Februari 23, 2018 23:55 MYT
Februari 23, 2018 23:55 MYT
Dua orang maut dalam satu insiden tembakan di pusat bandar Zurich, Switzerland pada Jumaat.
Bagaimanapun, pihak polis percaya ia tidak mempunyai kaitan dengan elemen keganasan.
Polis bertindak selepas menerima panggilan kecemasan mengenai satu insiden tembakan berhampiran sebuah stesen kereta api di pusat bandar, beberapa minit selepas jam 2.30 petang waktu tempatan.
Sejurus tiba di lokasi, satu mayat ditemui manakala seorang lagi mangsa dalam keadaan cedera parah.
Mangsa yang cedera meninggal dunia tidak lama kemudian, kata polis dalam satu kenyataan.
Setakat ini tiada butiran lanjut yang diberi pihak berkuasa, selain keadaan kini terkawal dan tidak ada bahaya kepada orang ramai.
Sementara itu, dua khemah kecil telah didirikan di tempat kejadian yang berdekatan dengan bangunan pejabat bank UBS.
Lalu lintas di kawasan terbabit kini disekat.