Dua maut, banjir di Sumatera Utara

Bernama
Januari 1, 2013 11:14 MYT
Banjir yang melanda empat daerah iaitu Nias Selatan, Tanpanuli Tengah, Nias Barat dan Mandailing Natal di Sumatera Utara Ahad dan Isnin telah menelan dua jiwa manakala seorang lagi dilaporkan hilang apabila rumahnya dihanyutkan arus deras air sungai.
Ribuan rumah penduduk dilaporkan dinaiki air, ada yang sampai tiga meter akibat hujan lebat lebih 24 jam Sabtu lalu.
Dua mangsa ditemui mati lemas di daerah kecil Maniamolo, Nias Selatan di mana beberapa batang sungai dinaiki air antara dua hingga 10 meter dan melimpahkan air ke kawasan penempatan, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana pada Isnin.
Seorang lelaki berusia 68 tahun di daerah kecil Lingga Bayu, Mandailing Natal masih hilang apabila rumahnya di tepi sungai bersama tiga rumah yang lain dihanyutkan arus deras awal hari ini.
Penghuni tiga rumah itu terselamat.
Banjir turut mengakibatkan beberapa tempat di Nias Selatan terputus hubungan apabila jalan ditimbus tanah runtuh, yang turut berlaku di daerah Mandailing Natal.
Lebih 1,000 mangsa banjir di Nias Selatan dipindahkan ke pusat pemindahan manakala mangsa di tiga lagi daerah masih menduduki rumah mereka atau menumpang rumah jiran.
Badan Pengurusan Bencana Sumatera Utara serta agensi berkaitan sedang menangani bencana termasuk membuka pusat penyelarasan bantuan kecemasan dan sudahpun menyalurkan bantuan lojistik ke beberapa kawasan.
Sementara itu Pihak Berkuasa Tempatan Daerah Nias Selatan telah mengisytiharkan darurat sejak Ahad hingga 12 Jan ini.
#banjir #lemas #ragut nyawa #sumatera utara
;