Dua maut, 40 cedera dalam tunjuk perasaan di Dhaka
Astro Awani
Februari 22, 2013 07:26 MYT
Februari 22, 2013 07:26 MYT
Tunjuk perasaan anjuran parti Jamaat-e-Islami di Dhaka bertukar ganas, menyebabkan dua orang maut manakala 40 orang termasuk 12 wartawan cedera.
Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menembak peluru getah bagi meleraikan rusuhan.
Protes diadakan bagi mengecam perbicaraan melibatkan pemimpin parti Jamaat-e-Islami berhubung jenayah perang pada 1971.
Pada bulan lepas, tribunal khas telah mensabitkan penolong setiausaha parti itu, Abdul Quader Molah dengan dakwaan pembunuhan beramai-ramai.
Dia telah dihukum penjara seumur hidup, manakala lapan lagi pemimpin parti itu sedang melalui perbicaraan.
Susulan daripada itu, Jamaat-e-Islami yang merupakan gabungan 12 parti menuduh kerajaan berkomplot untuk mengharamkan parti tersebut.
Namun perkara itu dinafikan kerajaan Bangladesh.
Sementara itu, satu protes besar-besaran juga dijangka diadakan pada Ahad.