Dua maut, 10 hilang Taufan Hinnamnor landa Korea Selatan
Bernama
September 6, 2022 19:20 MYT
September 6, 2022 19:20 MYT
SEOUL: Dua orang ditemui mati, manakala 10 lagi hilang selepas Taufan Hinnamnor melanda Korea Selatan, menurut ibu pejabat pusat bencana dan keselamatan kebangsaan pada Selasa.
Taufan Hinnamnor merupakan taufan yang ke-11 melanda negara itu pada tahun ini, dan kebanyakan mangsa dilaporkan berasal dari tenggara, lapor Xinhua.
Seorang wanita berusia 70-an ditemui mati di Pohang, kira-kira 270 kilometer dari tenggara ibu kota Seoul, selepas dia dipercayai dihanyutkan air deras.
Sementara itu, lapan orang dilaporkan hilang selepas cuba mengalihkan kenderaan mereka di tempat letak kereta bawah tanah di Pohang.
Seorang lagi wanita berusia 80-an dijumpai mati tertimbus dalam runtuhan di Gyeongju, kira-kira 280 km tenggara Seoul.
Di Ulsan, kira-kira 310 km tenggara Seoul, seorang lelaki berusia 25 tahun hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.
Setakat ini, lapan bangunan komersial dan 71 kediaman dinaiki air di seluruh negara, manakala empat rumah musnah.
Lapan kejadian tanah runtuh dilaporkan setakat ini, dan lebih 200 kemudahan awam rosak.
Lima bot nelayan karam, dan 1,320 hektar tanah ladang ditenggelami air selepas taufan itu.
Lebih 66,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala lebih 2,900 orang, kebanyakannya tinggal di wilayah tenggara, telah dipindahkan buat sementara waktu.
-- BERNAMA