Dua lokasi pergunungan di Arizona terbakar akibat disambar petir
Astro Awani
Jun 9, 2020 06:27 MYT
Jun 9, 2020 06:27 MYT
ANGGOTA bomba Arizona, Amerika Syarikat bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan di dua lokasi pergunungan berbeza di pinggir Tucson pada Isnin.
Pihak berkuasa bandar Oro Valley berkata, anggota bomba menunjukkan sedikit perkembangan baik dalam usaha memadamkan kebakaran di kawasan Pusch Ridge berdekatan.
Menurut pihak polis, kebakaran tersebut merebak sehingga lebih 9 kilometer (km) persegi.
Berdasarkan siasatan awal, kebakaran yang bermula sejak Jumaat lalu adalah disebabkan disambar petir.
Lebih 100 anggota bomba dikerahkan bagi proses memadam kebakaran dengan tiga buah helikopter melepaskan air di kawasan kebakaran.
Anggota bomba berdepan cabaran kekurangan bekalan air semula jadi dan terpaksa mendapatkan bekalan air di bandar terdekat.
Kebakaran kedua akibat disambar petir terjadi di Pergunungan Tortolita di utara Oro Valley, melibatkan lebih 14km persegi.
Bagaimanapun, di kedua-dua kawasan yang terjejas, tiada ancaman terhadap struktur tanah.