Dua kubur besar muncul selepas banjir besar di Bosnia

Agensi
Jun 7, 2014 12:47 MYT
Banjir besar yang melanda Balkan menyebabkan dua kubur besar yang mengandungi mayat sembilan penganut Islam timbul - Foto AFP
Banjir besar yang melanda Balkan pada bulan lepas menyebabkan dua kubur besar yang mengandungi mayat sembilan penganut Islam ketika perang Bosnia pada 1990an timbul di permukaan, menurut AFP.
Mayat-mayat tersebut digali “selepas air keluar daripada dua kubur besar itu yang berada beberapa ratus meter dari satu sama lain,” kata jurucakap Institut bagi Orang Hilang, Lejla Cengic.
Air banjir serta tanah runtuh telah menyebabkan sebahagian kubur yang terletak berhampiran sungai Bosna itu terdedah, Cengic memberitahu AFP dan pasukan tersebut seterusnya menjalankan penggalian selanjutnya.
Mangsa-mangsa tersebut dipercayai lelaki Muslim yang tinggal di kampung berdekatan, Jablanica yang telah dibunuh oleh tentera Serbia pada 1992, menurut Cengic. Analisis DNA akan dijalankan bagi mengenalpasti identiti mereka.
Perang antara etnik Bosnia yang berlaku di antara 1992 dan 1995 telah mengorbankan kira-kira 100,000 nyawa. Ribuan yang lain masih belum dijumpai hingga kini.
Penemuan kubur besar baru itu merupakan satu perkara yang jarang berlaku walaupun sebuah kubur besar pernah dijumpa pada 2013 yang mengandungi lebih 400 mayat.
Hujan lebat melanda Serbia, Bosnia dan Croatia pada pertengahan Mei, menyebabkan 77 terkorban dalam insiden banjir dan tanah runtuh terburuk dalam lebih satu abad.
Bencana tersebut menyebabkan berpuluh ribu orang terpaksa berpindah selain beribu bangunan dan rumah musnah.
Pihak berkuasa Bosnia turut memberi amaran bahaya periuk api hasil tinggalan perang yang mungkin terkeluar akibat banjir dan tanah runtuh.
Lebih 120,000 periuk api hasil tinggalan perang masih banyak di negara itu dimana kira-kira 2.4 peratus daripada negara itu dicemari dengan peranti serta kelengkapan tentera yang lain.
#Balkan #banjir #Bosnia #kubur besar #Muslim
;