Dua Korea bertemu, mahu perbaiki hubungan

Astro Awani
Januari 8, 2018 05:54 MYT
Awal tahun ini, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un membuat kenyataan mengemukakan cadangan supaya kedua-dua pihak bertemu dan berbincang untuk mengurangkan ketegangan. - Gambar hiasan
KOREA Utara dan Korea Selatan dijadual mengadakan pertemuan rasmi yang pertama dalam tempoh dua tahun hari ini (9 Januari, 2018), dijangka menjadi platform bagi membincangkan kaedah memperbaiki hubungan antara dua negara itu.
Susulan Pyongyang mengeluarkan kenyataan menerima tawaran Seoul pada Jumaat, rundingan tersebut bakal membincangkan kerjasama untuk membolehkan Pyongyang menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang.
Biarpun wujud tanda positif selepas ancaman nuklear berterusan dari Pyongyang tahun lalu, dua Korea ini mempunyai sejarah panjang gagal dalam rundingan dua hala, kerana tidak dapat mengetepikan keraguan.
Kali terakhir dua Korea mengadakan rundingan adalah pada Disember 2015.
Pentadbiran Seoul sebelum ini menutup kawasan perindustrian Kaesong, projek usahasama besar antara dua seteru ini pada 2016, sebagai bantahan terhadap tindakan provokasi nuklear Pyongyang.
Sebagai reaksi balas, Pyongyang memutuskan saluran komunikasi dengan Seoul pada Februari 2016.
Sejak itu, hubungan dua Korea terus tegang, susulan provokasi berterusan Pyongyang, termasuk dengan ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandunya.
Bagaimanapun awal tahun ini, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un membuat kenyataan mengejutkan, dengan mengemukakan cadangan supaya kedua-dua pihak bertemu dan berbincang untuk mengurangkan ketegangan, serta memperbaiki hubungan antara dua Korea.
Jong Un juga memberi bayangan negaranya mahu menyertai Sukan Olimpik musim sejuk.
Ia juga menyaksikan Korea Utara membuka semula pintu sempadannya dengan Korea Selatan.
Kim Yong-hyun, Profesor Kajian Korea Utara di sebuah universiti di Seoul menjangkakan kedua-dua seteru ini bakal mencapai persetujuan berhubung penyertaan Pyongyang dalam Sukan Olimpik di Pyeongchang.
Kedua-dua pihak juga dijangka mencari titik persamaan ke arah perjanjian berhubung beberapa isu tertinggah, termasuk penyatuan keluarga dan rundingan tentera.
#2016 #Kim Jong Un #Korea #Korea Selatan #Korea Utara #nuklear #Olimpik #Pyongyang #rundingan rasmi #Seoul #Sukan Olimpik
;