Dua keretapi tergelincir, sekurang-kurangnya 20 maut

Bernama
Ogos 5, 2015 03:42 MYT
Angka kematian dijangka meningkat sehingga 7 pagi (Malaysia 9.30 pagi) dengan 15 mayat daripada Kamayani dan Janata Express berada dalam Sungai Machak. - Foto Reuters
Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan maut dan lebih 300 penumpang diselamatkan selepas dua kereta api ekspres tergelincir di tempat yang sama ketika menyeberangi jambatan yang ditenggelami air akibat banjir lewat malam Selasa dekat Harda, Madhya Pradesh.
Angka kematian dijangka meningkat sehingga 7 pagi (Malaysia 9.30 pagi) dengan 15 mayat daripada Kamayani dan Janata Express berada dalam Sungai Machak.
Menurut kenyataan media daripada pegawai kanan West Central Railway, Piyush Mathur, sekurang-kurangnya 100 penumpang mengalami kecederaan serius.
Kamayani Express yang dalam perjalanan ke Varanasi dari Mumbai, tergelincir sekitar pukul 11.45 malam manakala Janata Express turut tergelincir pada waktu yang sama.
Seorang pegawai kereta api berkata bahan asas trek landasan dihanyutkan hujan lebat yang melanda negeri itu sejak dua minggu lepas menyebabkan air sungai melimpah.
Pegawai polis di tempat kejadian dipetik Times of India berkata sekurang-kurangnya dua penumpang mengalami kejutan elektrik.
Sementara itu, Menteri Kereta Api Suresh Prabhu berkata kakitangan perubatan kecemasan dan bantuan dikejarkan ke tempat kejadian tetapi kegelapan dan cuaca menghalang usaha kerja-kerja menyelamat.
#India #Janata Express #Kamayani #keretapi #New Delhi #tergelincir