Dua kapal kargo bertembung di Laut Baltik

Agensi
Disember 13, 2021 17:06 MYT
Menurut Pentadbiran Maritim Sweden, operasi menyelamat telah digerakkan dengan sekurang-kurangnya 10 bot penyelamat dari Denmark dan Sweden berada di lokasi. - Foto REUTERS
DUA kapal kargo bertembung di Laut Baltik pada Isnin di perairan berhampiran bandar Ystad, Sweden dan pulau Bornholm, Denmark.
Menurut Pentadbiran Maritim Sweden, operasi menyelamat telah digerakkan dengan sekurang-kurangnya 10 bot penyelamat dari Denmark dan Sweden berada di lokasi.
“Kami tidak pasti bagaimana insiden ini berlaku,” kata Jonas Franzen, pengurus komunikasi di Pentadbiran Maritim Sweden kepada agensi berita SVT.
Tambah Jonas, anggota penyelamat turut mengesan beberapa bunyi jeritan dari laut.
Salah sebuah kapal, Karin Hoej berukuran 55 meter panjang berlayar di bawah bendera Denmark manakala kapal Scot Carrier berukuran 99 meter panjang berlayar di bawah bendera Britain.
“Sekurang-kurangnya dua orang berada atas kapal Denmark berkenaan. Namun, kami tidak pasti berapa ramai sebenarnya berada di atas kapal tersebut,” kata Franzen.
Setakat ini, tiada mangsa dijumpai oleh anggota penyelamat.
Kapal kargo dari Denmark itu berada dalam perjalanan dari Södertälje, Sweden ke Nykøbing Falster, Denmark, manakala kapal Britain pula dalam perjalanan dari Salacgriva, Latvia ke Montrose di United Kingdom.
#kapal #bertembung #Denmark #Sweden #Ystad #Bornholm
;