Dua juruterbang digantung tugas, bertumbuk dalam kokpit
Sinar Harian
Ogos 29, 2022 07:20 MYT
Ogos 29, 2022 07:20 MYT
DUA juruterbang Air France digantung tugas gara-gara bertumbuk di dalam kokpit ketika penerbangan Geneva-Paris pada Jun lalu.
Menurut jurucakap syarikat itu pada Ahad, penerbangan itu tetap diteruskan dan berjaya mendarat dengan selamat.
La Tribune melaporkan juruterbang dan pembantu juruterbang tersebut terlibat pertengkaran tidak lama selepas pesawat itu berlepas dan mereka mula mencekak kolar baju antara satu sama lain setelah salah seorang daripadanya mula melepaskan tumbukan.
Kru penerbangan dikatakan terpaksa menenangkan situasi tersebut dan turut bersama-sama di dalam kokpit sehingga pesawat itu mendarat.
Insiden itu terbongkar selepas Agensi Siasatan Udara Perancis (BEA) mengeluarkan laporan mendakwa segelintir juruterbang Air France gagal mematuhi prosedur ketika insiden keselamatan.
Ia turut menyebut kejadian kebocoran minyak melibatkan penerbangan dari Brazzaville di Republik Congo ke Paris pada Disember 2020 apabila juruterbang bertindak mengalihkan laluan pesawat, namun tidak mematikan kuasa pada enjin atau mendarat secepat mungkin seperti ditetapkan prosedur.
Pesawat itu dilaporkan selamat mendarat di Chad tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Selain itu, BEA juga mendedahkan insiden antara 2017 dan 2022 melibatkan beberapa juruterbang yang membuat keputusan berdasarkan analisis sendiri serta gerak hati mereka. -Sinar Harian memetik agensi