Dua individu di China dihukum termasuk hukuman mati terbabit pemerdagangan kanak-kanak
Bernama
Disember 27, 2023 20:20 MYT
Disember 27, 2023 20:20 MYT
JINAN: Mahkamah di Wilayah Shandong, timur China pada Rabu menjatuhi hukuman mati ke atas seorang individu dan seorang lagi dipenjara seumur hidup kerana pemerdagangan kanak-kanak, lapor Xinhua.
Menurut keputusan Mahkamah Pertengahan Rakyat Liaocheng, Hu Fuji dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan dua tahun manakala Tang Lixia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Selain itu kedua-dua tertuduh dilucutkan hak politik mereka seumur hidup dengan semua harta peribadi mereka dirampas.
Kedua-dua defendan juga diperintahkan untuk bersama-sama membayar plaintif lebih 500,000 yuan (AS$70,400) sebagai pampasan bagi ganti rugi sampingan.
Keputusan mahkamah itu dibuat selepas Guo Gangtang, bapa kepada seorang budak lelaki yang diculik bertemu semula dengan anak lelakinya pada tahun 2021 selepas 24 tahun pencarian.
Kisah pencarian Guo menjadi ilham filem Lost and Love yang ditayangkan pada 2015 yang mengisahkan perjuangan seorang bapa mencari anak lelakinya di seluruh China dengan hanya menunggang motosikal.
Mahkamah mendapati Hu dan Tang pada 1997 dan 1998 menculik dan memperdagangkan empat kanak-kanak. Hu, bersama yang lain, turut menculik dan memperdagangkan kanak-kanak kelima pada 2001.
-- BERNAMA