Dua gorila di Zoo San Diego positif COVID-19
Astro Awani
Januari 12, 2021 09:00 MYT
Januari 12, 2021 09:00 MYT
LOS ANGELES: Dua ekor gorila di Zoo San Diego disahkan positif COVID-19 dengan beberapa gejala sekali gus menjadikannya wabak pertama kepada haiwan.
Gabenor California, Gavin Newsom bagaimanapun memaklumkan, punca jangkitan kepada gorila itu masih dalam siasatan sama ada dari haiwan atau manusia.
Dalam satu kenyataan, Zoo San Diego memberitahu, gorila itu disyaki berjangkit dari kakitangan zoo itu yang tidak bergejala selain mengakui tempat itu sudah mengikuti semua langkah keselamatan yang disyorkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.
Pihak berkuasa zoo itu memulakan ujian sampel terhadap haiwan itu selepas dua ekor mula batuk dan kemudian mengesahkan virus itu.
Makmal Perkhidmatan Veterinar Jabatan Pertanian AS mengesahkan keputusan positif itu pada Isnin.
"Hasil ujian mengesahkan adanya SARS-CoV-2 di beberapa gorila dan tidak menolak kehadiran virus pada haiwan lain.
"Gorila berkenaan nampak sihat selain beberapa gejala dan batuk.
"Mereka tetap dikuarantin bersama. Kami berharap untuk pemulihan sepenuhnya." kata Lisa Peterson, Pengarah Eksekutif Zoo San Diego.
Gorila adalah anggota keluarga haiwan kera besar, termasuk orang utan, cimpanzi dan manusia.
Koronavirus juga telah dijumpai di sejumlah spesies binatang liar yang lain dalam kurungan, termasuk beberapa singa dan harimau di Zoo Bronx di New York dan empat singa di Zoo Barcelona di Sepanyol.
Bagaimanapun, gorila di San Diego dipercayai kes jangkitan pertama yang disahkan pada kera.
Virus ini juga muncul di sejumlah anjing dan kucing.
Bulan lalu, USDA mengesahkan kes coronavirus pertama pada cerpelai, berikutan wabak di antara haiwan ternakan itu yang membunuh 15,000 spesiesnya.