Dua gempa bumi gegarkan Pulau Jawa

Bernama
Jun 12, 2023 12:35 MYT
Dua gempa bumi bermagnitud 4.0 dan 2.5 melanda Jawa Timur dan Barat dalam tempoh dua setengah jam, pada Isnin. -USGS
JAKARTA: Dua gempa bumi bermagnitud 4.0 dan 2.5 melanda Jawa Timur dan Barat dalam tempoh dua setengah jam, pada Isnin.
Gempa bumi berukuran 4.0 pada skala Richter berlaku pukul 8.04 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa berada pada kedalaman tujuh kilometer (km) terletak enam kilometer barat laut Bojonegoro.
Gegaran dirasai di kawasan Bojonegoro dan Tuban tetapi tidak mencetuskan tsunami, menurut Twitter Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia.
Tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan setakat ini.
Terdahulu, gempa bumi berkekuatan 2.5 pada skala Richter melanda Jawa Barat pada 5.32 pagi waktu tempatan dengan gegaran dilaporkan dirasai di Cianjur, Cugenang, Cipanas, Warungkondang, Cilaku dan Cibeber.
Menurut BMKG, pusat gempa pada kedalaman 13 km dan terletak lima km barat laut Cianjur.
Gempa itu berlaku enam jam 20 minit selepas kawasan sama dilanda gempa bumi berukuran 3.5 pada skala Richter yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang cedera dan dua rumah rosak.
-- BERNAMA
#gempa bumi #skala Richter #tsunami #Jawa Timur dan Barat #BMKG
;