Dua gajah mati kena renjatan elektrik di dusun durian

Sinar Harian
Oktober 14, 2023 19:26 MYT
Pasukan doktor haiwan tempatan yang ke lokasi selepas menerima panggilan telefon telah menemui sepasang gajah jantan dan betina terbaring berhampiran jalan. - Gambar/ Sinar Harian/ Agensi
DUA gajah liar yang berumur antara 20 dan 35 tahun ditemui mati akibat terkena renjatan pagar elektrik diletakkan pemilik dusun durian berhampiran Taman Negara Tai Rom Yen di wilayah Surat Thani, Thailand, lapor portal Thaiger.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada 12 Oktober lalu apabila haiwan itu ditemui tidak bernyawa pada jam 11 pagi (waktu tempatan).
Pasukan doktor haiwan tempatan yang ke lokasi selepas menerima panggilan telefon telah menemui sepasang gajah jantan dan betina terbaring berhampiran jalan.
Gajah tersebut dianggarkan masing-masing seberat 3.5 dan 2.5 tan.
Penemuan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun dikenali sebagai Jaroon yang tinggal di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian.
Menurut Jaroon yang juga pemilik kebun durian, membina pagar elektrik untuk melindungi kebunnya dari haiwan liar.
Katanya, pada sekitar jam 6 petang 11 Oktober, dia mengaktifkan pagar elektrik dan selepas beberapa jam malam itu kedengaran laungan gajah di kawasan berhampiran.
Namun, pada 6 pagi hari berikutnya, dia pergi melihat kawasan tersebut dan mendapati dua ekor gajah sedang terbaring tidak bernyawa. - Sinar Harian memetik agensi
#gajah mati #renjatan elektrik #Bangkok #pemilik dusun
;