Dua gajah cetus kekacauan di sarkas Rusia
Astro Awani
Mac 23, 2021 10:46 MYT
Mac 23, 2021 10:46 MYT
DUA ekor gajah mencetus kekacauan di sebuah sarkas di Rusia yang memaksa penonton melarikan diri daripada persembahan berkenaan.
Pelatih gajah berusaha bermati-matian untuk menguraikan pergaduhan melibatkan dua ekor gajah betina yang dipanggil Magda dan Jenny.
Jenny cuba menginjak saingannya di tepi gelanggang sekali gus menyebabkan penonton meninggalkan tempat duduk mereka di persembahan sarkas di Kazan.
Ia difahamkan berpunca daripada perasaan cemburu gajah berkenaan terhadap perhatian pelatihnya selepas ada suara yang mengatakan 'Gajah sudah menjadi gila'
Penonton kanak-kanak dan ibu bapa mereka meninggalkan tempat duduk terutama di barisan hadapan di kompleks yang bernilai lebih 10 juta pound itu.
Kejadian itu berlaku semasa pertunjukan sarkas yang dipanggil 'The Show of Elephants and the Magic of the Circus'.
Pengarah sarkas, Ramil Sharifullin memberitahu portal berita Realnoe Vremya, tidak ada yang tercedera akibat kejadian itu, sementara kakitangan menafikan penonton berada dalam bahaya.
Bagaimanapun ada ibu bapa dengan seorang anak gadis menyatakan rasa panik apabila gajah itu berdekatan dengan mereka.
"Kami bergegas keluar. Begitu juga orang lain terutama penonton di barisan hadapan," katanya.
Bagaimanapun seorang lagi penonton di bahagian belakang dan atas berasa selamat kerana mereka berada jauh daripada kejadian.
Jurucakap memaklumkan, haiwan-haiwan itu tidak mengalami kecederaan dalam perkelahian berkenaan.
Pertunjukan itu dihentikan dan persembahan malam berikutnya dibatalkan dengan bayaran tiket dikembalikan.
Pertunjukan sarkas sangat popular di Rusia namun terdapat banyak permintaan untuk membendung pertunjukan seperti itu daripada aktivis hak asasi haiwan.