Dua ditembak mati di kawasan Olimpik Rio
Agensi
Ogos 7, 2016 16:27 MYT
Ogos 7, 2016 16:27 MYT
Polis menembak seorang penyamun berhampiran stadium di mana majlis perasmian Sukan Olimpik Rio sedang berlangsung manakala seorang wanita terbunuh berhampiran dengan satu tapak Olimpik lain, menurut polis hari ini.
Insiden yang berlaku pada Jumaat itu menunjukkan tugas yang dipikul pasukan keselamatan terdiri daripada 85,000 anggota tentera dan polis yang dikerah bertugas di Sukan Olimpik itu.
Polis Rio berkata dalam satu kenyataan, seorang lelaki telah menyerang dan menyamun beberapa orang berdekatan dengan Stadium Maracana sebelum dipintas salah seorang pegawai polis yang dihantar ke Rio dari satu kawasan lain di Brazil.
"Lelaki itu sedang melakukan serangan apabila seorang pegawai polis tentera... menembaknya," kata kenyataan itu.
Beberapa jam sebelum itu, seorang arkitek terbunuh semasa memandu di salah satu pintu masuk utama ke Olympic Boulevard itu, kawasan pelabuhan yang dibangunkan semula dan kini menjadi tuan rumah temasya sukan itu dan merupakan tarikan utama pelancong.
Wanita berusia 51 tahun itu telah diserang oleh tiga penyamun bersenjata, kata polis. Dia cuba melarikan diri dan ditembak di kepala.