Dua Dekad Tsunami: Aku, Aceh dan tsunami
Nazri Kahar
Disember 26, 2024 13:15 MYT
Disember 26, 2024 13:15 MYT
BANDA ACEH: Dua puluh tahun mengenang tsunami Aceh, bencana terburuk dalam sejarah moden dunia.
Ringkasan AI
- Pelbagai acara diadakan oleh pemerintah Aceh dan Mercy Malaysia bersama Muzium Tsunami Aceh untuk memperingati bencana tsunami 2004 dan meningkatkan kesedaran mengenai risiko bencana.
- Program Podcast Tsunami 20 tahun dan resensi buku "Aku, Aceh dan Tsunami" oleh Norazam Abu Samah menjadi tumpuan, menceritakan pengalaman dan semangat juang warga Aceh selepas bencana.
- Pameran tsunami 20 tahun di Muzium Tsunami Aceh memaparkan foto-foto kerja kemanusiaan dan projek pemulihan, menunjukkan solidariti kemanusiaan dunia untuk Aceh.
Gempa dengan susulan ombak tsunami pada pagi Ahad 26 Disember 2004 terakam sebagai bencana paling dahsyat pernah melanda Aceh bumi Serambi Mekah.
Bagi memperingati bencana tsunami yang berlaku dua dekad lalu, pelbagai acara disusun oleh pemerintah Aceh bagi mengingati saat-saat ketika Aceh berduka dan bangkit semula selepas itu.
Mercy Malaysia dengan kerjasama Muzium Tsunami Aceh yang terletak di Banda Aceh menganjurkan beberapa acara bagi memberikan kesedaran kepada warga tempatan mengenai betapa pentingnya memahami risiko bencana dan membangun semula lebih baik selepas bencana.
Program Podcast Tsunami 20 tahun menjadi tumpuan pengunjung iaitu resensi buku ‘’Aku, Aceh dan Tsunami’’ yang ditulis oleh Pengarah Teknikal Kanan Mercy Malaysia Norazam Abu Samah, selain seorang lagi panel iaitu Mohd Hafiz Mohd Amirrol merangkap Timbalan Pengerusi Eksekutif Mercy Malaysia.
Norazam Abu Samah ketika mengulas buku yang ditulis berdasarkan pengalaman beliau ketika melakukan kerja kemanusiaan di Aceh berkata, sememangnya warga Aceh telah sebati dengan semangat daya juang, daya tahan dan reda dengan ketentuan Tuhan menyebabkan mereka bangkit segera selepas kehancuran harta benda dan kehilangan nyawa ahli keluarga akibat tsunami 2004.
Kata Norazam lagi, ketika tsunami 2004, ikon-ikon tempatan atau “’local chámpion’’ seperti Pak Lah, Pak Kechik dan Pak Muzakir banyak membantu orang-orang kampung biarkan mereka sendiri dilambung ombak tsunami dan kehilangan ahli keluarga tersayang.
Mereka ini jugalah yang memudahkan kerja-kerja Mercy Malaysia di lapangan ketika memberi bantuan khususnya di Desa Weu Raya dan Desa Lampuong di Lhoknga.
Selain itu, sesi pengisahan tsunami menampilkan Ibu Bundiyah atau lebih dikenali dengan panggilan Wak Kolak, kisah beliau dan 57 lagi warga menjadi mangsa tsunami, tetapi terselamat dengan menaiki sebuah kapal nelayan yang terdampar atas sebuah bumbung rumah yang dihanyutkan ombak tsunami di Desa Lampulo.
Wak Kolak menjadi ikon wanita Aceh yang bersemangat dan tidak mengenal putus asa, ditambah kekuatan iman yang beliau percaya kepada takdir Allah bahawa setiap bencana ada hikmahnya.
Satu pameran tsunami 20 tahun turut diadakan di pekarangan foyer Muzium Tsunami Aceh dengan foto-foto kerja-kerja kemanusiaan dan projek pembangunan serta pemulihan semula yang dilaksanakan oleh Mercy Malaysia dengan kerjasama UTM dan UiTM.
Pameran ini bukan sekadar mengenang bencana Tsunami 20 tahun lalu, tetapi menjadi bukti kebersamaan dan solidariti kemanusiaan dunia buat Aceh.