Dua butir bom meletup di Balai Polis Satun
Bernama
Mac 10, 2019 19:11 MYT
Mac 10, 2019 19:11 MYT
Dua butir bom meletup di Balai Polis Satun, Wilayah Satun di selatan Thailand malam tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.
Ketua Polis Muang Satun Kol. Pacharapol Na Nakorn berkata dalam kejadian pertama kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan), sebutir bom dipercayai meletup di dalam tong sampah di depan Balai Polis Satun.
Dalam kejadian kedua pada 10.50 malam (waktu tempatan), beliau berkata sebutir bom meletup di tempat letak kenderaan balai polis itu yang mana ia dipasang di sebuah motosikal sebelum diletupkan.
"Siasatan skuad bom (EOD) mendapati bom yang digunakan dalam insiden itu adalah bom buatan sendiri. Tiada serpihan bom ditemui," katanya.
Kereta dan motosikal di tempat letak kenderaan balai polis mengalami kerosakan akibat insiden itu.
Pacharapol berkata polis juga menemui sebutir bom di pasar raya Makro, dekat sini dan ia berjaya dimusnahkan.
Sementara itu, pihak polis turut menemui empat objek yang mencurigakan di Daerah Pakpayun, Wilayah Pattalung, kira-kira 150 kilometer dari sini.
Siasatan lanjut sedang dijalankan.
Dalam pada itu semalam, genap 110 tahun Patani dijajah oleh kerajaan Thailand. Pada 10 Mac 1909 satu perjanjian antara Siam dan British iaitu The Anglo-Siamese Treaty of 1909 atau Bangkok Treaty of 1909 ditandatangani membahagikan kawasan pemerintahan antaran Siam dengan British.
Isi kandungan penting perjanjian tersebut ialah negeri Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan pulau-pulau bersebelahan diserah kepada British untuk memerintah manakala lima wilayah selatan Thailand iaitu Patani, Yala, Narathiwat, Songkla dan Satun diserah kepada Thailand.
#Balai Polis Satun
#bom
#Daerah Pakpayun
#Pacharapol Na Nakorn
#pasar raya Makro
#selatan thailand
#tong sampah
#Wilayah Pattalung