Dua biarawati songlap ASD500,000 untuk berjudi di Las Vegas

Astro Awani
Disember 12, 2018 11:08 MYT
Kedua-dua biarawati mengaku mengunakan dana berkenaan untuk tujuan peribadi. - Gambar hiasan
DUA biarawati di Amerika Syarikat mengaku menggelapkan sekurang-kurangnya ASD500,000 dari dana sebuah sekolah mubaligh dan membelanjakannya untuk berjudi di Las Vegas.
Menurut laporan New York Times, perkara itu diakui sendiri oleh Archdiocese Los Angeles semasa mesyuarat bersama ibu bapa dan alumni.
Tertuduh, Biarawati Mary Margaret Kreuper, yang bertugas sebagai pengetua sekolah St. James Catholic School di California, bersama seorang lagi guru yang sudah berkhidmat dengan sekolah berkenaan selama 20 tahun, Biarawati Lana Chang, dituduh menggelapkan wang sekolah sejak 10 tahun lalu.
Kedua-dua guru berkenaan sudah bersara awal tahun ini.
Pihak berkuasa gereja mula menyedari insiden ini sejak Jun lalu selepas melakukan audit berkala susulan persaraan Kreupe.
Pihak pentadbiran gereja mula mengesyaki sesuatu setelah Kreupe meminta agar rekod kewangan sekolah dipinda.
Pihak auditor mendapati semua bayaran yuran dan derma kepada sekolah didepositkan kepada sebuah akaun bank yang tidak digunakan oleh sekolah.
Kedua-dua biarawati itu kemudian mengaku mengunakan dana berkenaan untuk tujuan peribadi.
Mereka bagaimanapun bernasib baik kerana pihak gereja tidak akan mengemukakan pendakwaan setelah kedua-dua mereka mengaku bertaubat.
#Amerika Syarikat #AS #bank #California #curi #derma #guru #Los Angeles #New York #school #sekolah #songlap
;