Dua bekas juruterbang Japan Airlines digantung tugas kerana berbohong minum arak

Agensi
Februari 4, 2025 05:15 MYT
Dua bekas juruterbang Japan Airlines (JAL) digantung daripada menerbangkan pesawat oleh Kementerian Pengangkutan Jepun pada Selasa kerana mengambil alkohol secara berlebihan sebelum penerbangan dan berbohong kepada bekas majikan mereka.
TOKYO: Dua bekas juruterbang Japan Airlines (JAL) digantung daripada menerbangkan pesawat oleh Kementerian Pengangkutan Jepun pada Selasa kerana mengambil alkohol secara berlebihan sebelum penerbangan dan berbohong kepada bekas majikan mereka.
Kementerian itu menyatakan, kedua-dua bekas kapten tersebut "meminum alkohol melebihi had yang dibenarkan, walaupun mereka sedar akan peraturan" yang mengehadkan jumlah alkohol yang boleh diminum dalam tempoh 12 jam sebelum penerbangan berjadual.
Kedua-dua mereka "memberikan penjelasan palsu kepada syarikat selepas tiba dan cuba menutup kesalahan pengambilan alkohol secara berlebihan," kata kementerian itu, yang mengenakan penggantungan sehingga tujuh bulan ke atas mereka.
Kedua-duanya dipecat oleh JAL selepas penerbangan dari Melbourne ke Tokyo pada Disember lalu ditangguhkan selama tiga jam kerana ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan mereka melebihi had yang dibenarkan.
Bulan lalu, JAL mengumumkan, dua eksekutif tertinggi syarikat itu akan menerima potongan gaji sebanyak 30 peratus selama dua bulan akibat insiden tersebut.
Pada tahun lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan JAL untuk mengambil langkah pencegahan selepas satu penerbangan dari Dallas ke Tokyo dibatalkan kerana seorang juruterbang mencetuskan kekecohan selepas mabuk di sebuah hotel.
Jepun memperkenalkan peraturan baharu pada 2019 bagi mengetatkan kawalan terhadap pengambilan alkohol dalam kalangan juruterbang selepas beberapa insiden mendapat perhatian media.
All Nippon Airways pernah menangguhkan penerbangan domestik pada tahun tersebut selepas seorang pembantu juruterbang gagal dalam ujian pernafasan alkohol.
Pada 2018, seorang pembantu juruterbang JAL ditahan di Britain sejurus sebelum penerbangan kerana didapati hampir 10 kali melebihi had alkohol dalam darah yang dibenarkan oleh undang-undang. - Agensi
#juruterbang JAL #Japan Airlines #digantung tugas #bohong minum arak
;