Dua anak Presiden Jokowi dilapor ke KPK, didakwa rasuah bakar hutan secara haram
Agensi
Januari 12, 2022 13:27 MYT
Januari 12, 2022 13:27 MYT
JAKARTA: Dua anak lelaki Presiden Joko Widodo atau Jokowi, Gibran Rakabuming dan Kaesang Pangarep mencuri perhatian rakyat Indonesia apabila dipanggil Komisi Pencegahan Rasuah (KPK) selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah membabitkan kegiatan pembakaran hutan secara haram.
Mereka dipanggil KPK selepas pihaknya menerima laporan daripada pensyarah Universiti Negeri Jakarta (UNJ), Ubedilah Badrun yang juga seorang aktivis sosial.
Memetik portal tempatan Kompas, dua beradik itu didakwa terlibat dengan kegiatan pembakaran hutan secara haram dan telah disaman oleh Kementerian Lingkungan Hidup dan Perhutanan sebanyak 7.9 trilion rupiah (RM2.31 bilion) menerusi sebuah syarikat gergasi PT SM pada 2015.
Namun demikian, syarikat itu hanya diarah membayar saman sebanyak 78 bilion rupiah (RM22.9 juta) selepas diputuskan oleh mahkamah.
Menurut Ubedillah, pada Februari 2019, dua anak Jokowi menggabungkan perniagaannya dengan perusahaan PT SM dan memperoleh suntikan dana yang besar sehingga mereka boleh membeli saham dalam syarikat masing-masing.
“Persoalannya, bagaimana anak muda yang baru menubuhkan syarikat dengan mudah mendapat dana modal dalam jumlah yang cukup besar iaitu kira-kira 99.3 bilion rupiah (RM29 juta) jika mereka bukan anak Presiden?" soal Ubedillah.
Dalam masa sama, Ubedillah menggesa KPK segera memanggil Jokowi untuk memberikan penjelasan berhubung hal tersebut.