Dua aktivis Thailand berdepan masalah kerosakan buah pinggang, gara-gara mogok lapar
Agensi
Mac 4, 2023 09:40 MYT
Mac 4, 2023 09:40 MYT
PATHUM THANI: Dua aktivis wanita Thailand yang melancarkan mogok lapar selama 44 hari untuk memberi tekanan supaya tahanan-tahanan politik dibebaskan, sudahnya dikejarkan ke hospital pada Jumaat kerana berada dalam keadaan kritikal.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, aktivis berkenaan baru saja menjalani mogok itu selama seminggu di hadapan Mahkamah Agung.
Kumpulan doktor memberitahu, dua aktivis itu, Tantawan Tuatulanon dan Orawan Phupong berdepan risiko tinggi kegagalan buah pinggang dan berkemungkinan tidak boleh bertahan tanpa campur tangan perubatan.
Pasangan penunjuk perasaan itu sebelumnya telah menolah pemberian air minuman dan cecair intravena sejak Khamis, semata-mata untuk meneruskan mogok demi pembebasan rakan mereka daripada pihak berkuasa.
Sejak memulakan mogok lapar pada 18 Januari lalu, mereka menolak untuk makan dan minum. Apabila keadaan kesihatan didapati merosot, mereka setuju untuk mengambil sedikit air dan kemudian sedia disuntik vitamin dan mineral intravena untuk mengurangkan risiko kesihatan.
Mereka sempat menerima rawatan di Hospital Universiti Thammasat namun mereka kemudiannya sengaja meninggalkan wad untuk meneruskan protes di hadapan Mahkamah Agung. Para penyokong mereka turut hadir menyatakan sokongan dengan membawa sepanduk.
Kumpulan penyokong itu bagaimanapun tidak terlibat dengan percubaan mogok lapar.
Walaupun dua aktivis itu dipujuk agar kembali ke hospital, mereka menolaknya dan melanjutkan mogok lapar berkenaan. Begitupun, oleh kerana keadaan kesihatan mereka semakin memburuk, mereka dipaksa kembali ke hospital dan sehingga kini masih menerima rawatan rapi.
Tujuan mereka melakukan demikian adalah untuk mendesak pihak berkuasa membebaskan baki tiga orang rakan mereka, daripada 16 orang pada awalnya, yang ditahan dalam protes antikerajaan pada pertengahan 2020 lalu.