Dron Ukraine ditembak jatuh di Moscow - Rusia

Bernama
Ogos 18, 2023 11:37 MYT
Anggota pasukan keselamatan Rusia meningkatkan kawalan susulan laporan sebuah dron dari Ukraine terhempas di kawasan Tambak Krasnopresnenskaya di Moscow. - Gambar REUTERS
MOSCOW: Kementerian Pertahanan Rusia pada awal Jumaat mendedahkan bahawa sebuah dron Ukraine ditembak jatuh sekitar 4 pagi (0100 GMT) waktu tempatan ketika ia cuba menyerang kemudahan di wilayah Moscow, lapor Sputnik.
"Pada 18 Ogos, kira-kira jam 4.00 pagi, rejim Kyiv cuba melakukan satu lagi serangan pengganas menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu ke atas kemudahan yang terletak di Moscow dan wilayah Moscow," menurut kenyataan itu.
Dron terbabit terhempas di kawasan Tambak Krasnopresnenskaya di Moscow, merosakkan bahagian hadapan pavilion satu tingkat.
"Bahagian hadapan bangunan satu tingkat di Tambak Krasnopresnenskaya, rosak selepas kejadian itu. Tiada kebakaran dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kawasan kerosakan meliputi 20 meter persegi," kata jurucakap perkhidmatan kecemasan. - BERNAMA
#konflik Rusia-Ukraine #dron ditembak jatuh #Kementerian Pertahanan Rusia #Tambak Krasnopresnenskaya
;