Dron jadi penyelesaian masalah petani, pesawah Jepun
Agensi
Ogos 24, 2018 10:09 MYT
Ogos 24, 2018 10:09 MYT
Penyelesaian terkini untuk menyelamatkan sektor pertanian luar bandar di Jepun mungkin terletak pada prospek penggunaan dron.
Untuk beberapa bulan, pihak pembangun teknologi dan petani di timur laut Jepun sedang menguji penggunaan dron terbaharu yang boleh terbang di atas hamparan sawah padi sekali gus menjalankan tugas penting dalam masa singkat.
Semua itu demi membantu kerja-kerja golongan petani yang kebanyakannya daripada golongan usia tua.
“Ini teknologi tinggi yang belum pernah dimanfaatkan sebelum ini,” ujar pesawah berusia 69 tahun, Isamu Sakakibara, di Tome, iaitu kawasan yang menjadi pembekal beras kepada Tokyo sejak kurun ke-17.
Pihak pembangun dron pertanian berkata, ia menawarkan bantuan berteknologi tinggi kepada komuniti desa yang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja akibat penghijrahan generasi muda ke bandar.
“Oleh kerana kita berdepan generasi pelapis dalam pertanian, adalah menjadi misi kami untuk mencipta idea baharu bagi meningkatkan produktiviti petani menerusi penggunaan teknologi seperti dron,” ujar Sakakibara yang juga ketua koperasi pertanian tempatan, JA Miyagi Tome.
Dron tersebut boleh menyemburkan racun serangga dan baja ke hamparan sawah dalam masa 15 minit.
Dengan menggunakan tenaga manual manusia, tugas itu mengambil masa lebih sejam dan memerlukan pesawah mengusung tangki berat.
Dron Nile-T18 dibangunkan syarikat Nileworks Inc dan sebelum ini pernah membuat ujian bersama dengan JA Miyagi Tome dan firma perdagangan Sumitomo Corp.
Matlamat mereka adalah untuk meringankan beban fizikal seterusnya meningkatkan produktiviti di kawasan luar bandar.
Di Tome, usia purata petani dan pesawah adalah 67-68 tahun, dan mereka hanya berbaki empat atau lima tahun untuk bertani.
"Sama ada tubuh petani yang ‘rosak’ dahulu, atau traktor,” ujarnya.
Berbanding mini helikopter berkelengkapan semburan serta dikawal dari jarak jauh yang menelan kos 15 juta Yen (RM556,000), dron adalah lebih kecil dan murah, dengan harga kira-kira satu per tiga daripadanya.
Nileworks sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk membenarkan pengendali menerbangkan dron tanpa lesen. Ia boleh dikawal dengan iPad dan beroperasi dalam lingkungan perisian pemetaan yang mudah dikendalikan.
Dron itu juga boleh membuat analisis pantas tentang kualiti tanaman, selain jumlah racun serangga dan baja yang diperlukan.
Nileworks merancang untuk mula menjual dron tersebut pada Mei, dengan sasaran tahunan sejumlah 100 unit pada tahun pertama dan 4,000 unit dalam tempoh lima tahun.