Drama tebusan berakhir, seorang maut

Agensi
Julai 22, 2018 15:57 MYT
Suspek lelaki berkulit hitam berusia 28 tahun itu dipercayai terlibat dalam pertengkaran dengan keluarganya turut menembak neneknya dan seorang wanita lain di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa berjaya memberkas seorang suspek bersenjata api yang menembak mati seorang wanita dalam insiden menggemparkan di sebuah pasar raya di Los Angeles, semalam.
"Suspek lelaki berkulit hitam berusia 28 tahun itu dipercayai terlibat dalam pertengkaran dengan keluarganya turut menembak neneknya dan seorang wanita lain di lokasi kejadian.
"Lelaki terbabit melarikan diri menaiki kenderaan milik neneknya dan membawa wanita itu bersamanya. Dia kemudiannya memasuki pasar raya Trader Joe di kawasan Silverlake selepas terlibat dalam aksi kejar mengejar dengan polis," kata jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Sarjan Barry Montgomery.
Menurutnya, suspek bertindak menjadikan kira-kira 40 pengunjung sebagai tebusan hingga mencetuskan keadaan huru-hara di dalam pasar raya tersebut selepas ada yang cuba melarikan diri termasuk terjun dari tingkap.
Bagaimanapun, dia akhirnya bersetuju menyerah diri selepas berunding dengan polis tanpa berlaku sebarang pergelutan, namun dia meminta untuk menggari tangannya sendiri sebelum dibawa keluar dari pasar raya tersebut.
Difahamkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut mengikuti perkembangan drama tebusan tersebut. - Agensi
#Jabatan Polis Los Angeles #Los Angeles #pihak berkuasa #Sarjan Barry Montgomery #Silverlake #tebusan
;