Drama tawan bas berakhir, 'sniper' tembak lelaki bersenjata palsu

Hasimi Muhamad
Ogos 20, 2019 07:48 MYT
Polis mengiringi bas yang ditawan oleh seorang lelaki bersenjata yang turut menahan penumpangnya sebagai tebusan, di sebuah jambatan yang menghubungkan Niteroi dan Rio de Janeiro di Brazil, 20 Ogos, 2019. (Foto AP)
Drama tebusan di Brazil, membabitkan seorang lelaki bersenjata yang menahan 37 penumpang bas, berakhir apabila polis menembak mati lelaki itu selepas beberapa jam dia menawan sebuah bas di Rio De Janeiro.
Lelaki bersenjata itu menawan kenderaan tersebut di atas jambatan yang menghubungkan bandar itu dan Niterio.
Sebelum itu, polis yang lengkap bersenjata mengepung bas berkenaan ketika berunding dengan lelaki itu yang bersenjatakan pistol dan membawa petrol.
Lelaki itu dilaporkan menaiki bas jam 5.30 pagi waktu tempatan dan mula mengancam untuk membakar bas berkenaan bersama penumpangnya.
Pada mulanya, polis memaklumkan lelaki itu bersenjatakan pistol dan pisau.
Bagaimanapun, Leftenan Kolonel Maurilio Nunes dari skuad polis elit yang mengendalikan tebusan itu berkata, pistol yang dibawa suspek sebenarnya palsu.
Ketika melangkah keluar dari bas berkenaan, suspek ditembak penembak tepat apabila dia mencampak objek menyerupai sebuah beg.
Kesemua tebusan tidak mengalami sebarang kecederaan.
#bakar bas #Brazil #lelaki bersenjata #penembak tepat #Rio de Janeiro #sniper #Tawan bas #tebusan
;