'Drama' politik Britain makin hangat, Boris Johnson buat 'comeback'?
Agensi
Oktober 21, 2022 12:03 MYT
Oktober 21, 2022 12:03 MYT
LONDON: Khabar angin tentang kemunculan semula Boris Johnson ke arena politik United Kingdom semakin kencang apabila kumpulan penyokongnya melancarkan kempen "kembalikan Boris" ke jawatan Perdana Menteri.
AFP melaporkan, sementara permintaan itu kuat bergema dari satu sudut, sebahagian pemerhati politik dan pengkritik pula menyifatkannya sebagai 'penghinaan ke atas rakyat British'.
Namun, melihatkan daripada sesi soal jawab terakhirnya sewaktu di penghujung waktu sebagai Perdana Menteri dahulu, Johnson seperti meninggalkan isyarat bahawa beliau 'masih ada urusan yang belum selesai'.
Memetik laporan The Times, Johnson berkemungkinan memasuki senarai calon untuk menggantikan Liz Truss, atas alasan ia adalah demi kepentingan negara.
Di Twitter, beberapa ahli Konservatif cuba menjadikan tanda pagar #BringBorisBack sohor pada Khamis, selepas Truss mengumumkan peletakan jawatannya.
Ahli Parlimen Tory, Brendan Clarke-Smith memberitahu Sky News bahawa perdana menteri seterusnya perlukan mandat daripada pengundi dan ahli parti. Calon itu perlu 'seseorang yang mampu menjadi pemenang', katanya.
"Boris Johnson ialah calon yang menepati semua kriteria," tegasnya.
Namun dari pandangan lain, Ahli Parlimen Tory, Roger Gale berpendapat, Johnson sepatutnya tidak boleh bertanding, memandangkan dia masih di bawah siasatan atas insiden skandal 'pesta' yang menjatuhkan kariernya.
"Selagi siasatan itu belum selesai dan mencapai keputusan sama ada dia bersalah atau tidak, tidak boleh ada kemungkinan untuk dia kembali ke dalam kerajaan," kata Gate.
Ketua Pembangkang dari Parti Buruh Keir Starmer juga senada dengan pandangan itu, dengan menyatakan bahawa Johnson tidak 'sesuai' dalam pentadbiran.
"Jika mereka mahu keluar dari kesan eksperimen ini, kekacauan ini, kerosakan ekonomi ini, dan berundur semula tiga bulan untuk kembali ke calon yang tidak wajar untuk berkhidmat, saya rasa itu hanya akan menambah penghinaan kepada rakyat umum," ujarnya kepada BBC.