Draf undang-undang dicadang, benarkan setiap isi rumah di Thailand tanam enam pokok ganja

Agensi
September 13, 2019 22:51 MYT
Draf itu juga akan membenarkan penjualan pokok itu untuk institusi berlesen di bawah pemantauan institut tersebut. - Gambar hiasan
Sebuah parti politik dalam pakatan pemerintah di Thailand telah mencadangkan draf undang-undang yang membenarkan setiap isi rumah di Thailand untuk menanam pokok ganja.
Reuters melaporkan, cadangan itu dibuat kurang setahun selepas Negara Gajah Putih itu membolehkan bahan tersebut bagi tujuan perubatan dan penyelidikan.
Di bawah undang-undang dadah Thailand, pengguna ganja secara rekreasi boleh dikenakan hukuman berat, termasuk 10 tahun penjara atau denda yang tinggi.
Seorang pembuat dasar dalam Parti Bhumjaitha yang bertanggungjawab bagi Kementerian Kesihatan, berkata draf undang-undang itu akan membolehkan enam batang pokok ganja ditanam bagi setiap isi rumah.
Kanabis pada masa yang sama, masih di bawah kategori dadah dalam undang-undang negara itu.
BACA: Thailand berjaya tanam pokok ganja perubatan pertama
"Prinsipnya adalah untuk kegunaan perubatan. Anda boleh memilikinya di rumah untuk tujuan merawat bukan menghisapnya di tepi jalan,” ujar Supachai Jaisamut.
Draf itu juga akan membenarkan penjualan pokok berkenaan untuk institusi berlesen di bawah pemantauan institusi tersebut.
Institusi perubatan berasaskan tumbuhan itu, kata Supachai, akan mempunyai kuasa untuk membeli, mengekstrak dan mengeksport cannabidiol (CBD) iaitu bahan kimia yang dihasilkan daripada pokok ganja itu.
Tambahnya, undang-undang itu mungkin dapat diluluskan dalam tempoh enam bulan selepas November ini, apabila Parlimen kembali bersidang dan mendapat sokongan yang mencukupi.
#draf #penggunaan ganja #perubatan #pokok ganja #Thailand #undang-undang
;