Draf teks CoC di Laut China Selatan di peringkat bacaan kali kedua - Vivian Balakrishnan

Bernama
Mei 11, 2023 12:34 MYT
Menurut Balakrishnan, Singapura akan terus berusaha ke arah CoC yang berkesan dan substantif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal. - Fail/BERNAMA
SINGAPURA: Draf teks Kod Tata Laku (CoC) di Laut China Selatan kini di peringkat bacaan kali kedua, menurut Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
"Rundingan secara peribadi mengenai CoC di Laut China Selatan telah disambung semula pada Mei lalu, selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19," kata Balakrishnan dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Ahli Parlimen Gan Thiam Poh.
Gan bertanya sama ada menteri itu boleh memberikan maklumat terkini mengenai kemajuan rundingan dan pemuktamadan CoC di Laut China Selatan yang sedang dirangka oleh ASEAN dan China.
"Singapura akan terus berusaha ke arah CoC yang berkesan dan substantif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS) yang melindungi hak dan kepentingan semua pihak di Laut China Selatan," tambah Balakrishnan.
Menjawab soalan Alex Yam Ziming sama ada mungkin terdapat warga Singapura berada di Sudan; dan apakah langkah yang sedang diambil untuk membantu mereka keluar dari negara itu, Balakrishnan berkata: "pada masa ini tiada warga Singapura yang berdaftar dengan Kementerian Luar Negeri (MFA) di Sudan."
Memetik kenyataan yang dikeluarkan kementeriannya bertarikh 27 April, Balakrishnan berkata: "dua keluarga Singapura, terdiri 14 warga Singapura dan seorang ahli keluarga telah selamat dipindahkan dari Khartoum, Sudan ke Jeddah, Arab Saudi dengan bantuan kerajaan Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu."
"Kerajaan Singapura mengulangi setinggi- tinggi penghargaan kepada tiga kerajaan itu yang membantu memudahkan membawa keluar rakyat kita dengan selamat," kata Balakrishnan.
-- BERNAMA
#Laut China Selatan #Kod Tata Laku #Menteri Luar Singapura #vivian balakrishnan
;