DPR patuh keputusan Mahkamah Konstitusi untuk Pilkada 2024, pindaan RUU dibatalkan
Bernama
Ogos 22, 2024 05:40 MYT
Ogos 22, 2024 05:40 MYT
JAKARTA: Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada Khamis menegaskan akan mematuhi keputusan yang ditetapkan Mahkamah Konstitusi bagi Pilihan Raya Daerah 2024 (Pilkada), kata Timbalan Speaker Sufmi Dasco Ahmad.
Keputusan mahkamah itu susulan permohonan Semakan Kehakiman oleh Parti Buruh dan Parti Gelora tetap akan berkuat kuasa semasa pendaftaran calon pada 27 Ogos kerana Rang Undang-Undang (RUU) Pilkada belum diluluskan.
"Pada pukul 10 pagi, selepas penundaan selama 30 minit, diputuskan bahawa pindaan kepada RUU Pilkada tidak dapat dilaksanakan. Ini bermakna pindaan yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan," katanya semasa sidang media.
Sebarang sesi untuk perkara itu pada masa depan perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan dan tiada lagi peruntukan hari sesi sidang menjelang pendaftaran calon Pilkada, jelas Sufmi.
Hanya 86 daripada 560 anggota hadir di sesi Parlimen di tengah protes, di sini dan di beberapa bandar utama yang menuntut DPR menolak RUU daripada Komisi III yang mengetepikan keputusan mahkamah mengenai syarat calon bagi semua parti politik dan had umur.
Susulan pembatalan kelulusan RUU Pilkada, anak bongsu Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep tidak layak bertanding sebagai gabenor Jawa Tengah atas faktor umur semasa pendaftaran calon, kata bekas Ketua Mahkamah Konstitusi Jimly Asshiddiqie, dipetik portal berita SindoNews.
Penunjuk perasaan secara beransur-ansur bersurai dari kawasan Parlimen sekitar 6 petang waktu tempatan dan lalu lintas di sekitar kembali normal, manakala pihak keselamatan terus memantau dan mencegah perhimpunan berlanjutan.
Polis bertindak melepaskan meriam air untuk mengawal mereka yang cuba memasuki ke dalam kawasan Parlimen selepas beberapa pagar dirobohkan semasa demonstrasi.
-- BERNAMA