Dorscon jingga, bantuan tergendala; warga Singapura kiasu, rak pasar raya licin disapu
Razak Chik
Februari 11, 2020 05:15 MYT
Februari 11, 2020 05:15 MYT
USAHA badan sukarela Singapura menghulur bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan kini mungkin terbantut berpunca sifat 'kiasu’ sesetengah rakyat republik itu.
Kiasu perkataan dialek Hokkien yang diterima masyarakat Singapura pelbagai bangsa sebagai bermaksud sifat tamak, tidak mahu kalah, enggan ketinggalan atau terasa rugi mendorong tindakan jelek sesetengah warganya.
Ini termasuk menimbun makanan sampai melimpah di majlis makan berselerak, memotong barisan dan singgah di pasar raya Johor Baru semata mata mahu memperlengkapkan tandas memborong tisu.
Sifat kiasu ini ketara apabila rakyatnya berpusu-pusu ke pasar raya mengaut dan 'menyapu bersih’ para barangan kerana takut kehabisan bekalan.
Tindakan ini timbul sejurus pengumuman Singapura berada di tahap jingga dalam perkiraan Dorscon (Disease Outbreak Response System Condition atau Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit) yang mengukur tahap persediaan republik itu menghadapi bencana sebaran novel coronavirus pneumonia (NCP).
Pada Selasa, WHO mengumumkan nama yang dipersetujui untuk virus penyebar ditetapkan sebagai coronavirus disease 2019 atau COVID-19.
Pengumuman itu disambut warga Singapura dengan segera bergegas ke pasar raya tempatan dan di Johor untuk membeli segala jenis bahan keperluan harian seperti beras, mi segera, jajan, minyak masak dan paling ketara - tisu tandas.
Mengikut skala Dorscon, tahap jingga melibatkan sekatan terhadap aktiviti luar sekolah dan syarikat.
Ia juga bermakna, tinggal satu tangga lagi sebelum tahap Dorscon dinaikkan pada tahap tertinggi – kod Merah!
Malangnya, tahap jingga sudah cukup menyebabkan warga Singapura garu kepala – kalangan mereka yang bersifat `kiasu’ tidak mahu kalah – bergegas ke pasar raya membeli stok makanan dengan tujuan menyimpan (hoarding).
Pada hujung minggu selepas pengisytiharan kod jingga, para peraga di pasar raya NTUC FairPrice dan pasar basah dikaut licin oleh pembeli.
Badan amal seperti Free Food For All (FFA) yang menyediakan makanan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah Singapura menyuarakan kebimbangan tentang bahaya pembelian cara penimbunan bagi tujuan menyimpan ini.
Kebiasaannya, FFA bergantung kepada sumbangan barangan berlebihan dari pasar raya.
Dalam situasi di mana rak barangan sudah kosong, tiada apa lagi barangan keperluan dan makanan yang tinggal untuk golongan ini.
Juga menjadi kebiasaan, pasar raya terbabit akan menyumbang barangan yang hampir luput tarikh kepada peti makanan (food bank). Tetapi, akibat tindakan pembeli yang rakus, barangan yang hampir tarikh luput turut `disambar’.
Saranan mengurangkan penyertaan acara luar atau berkumpul di tempat awam juga menimbulkan masalah kepada pasukan sukarela.
Kebiasaannya, kalangan pembantu yang sanggup menyumbang tenaga, ramai terdiri dari golongan pelajar.
Dengan penularan COVID-19, ramai pelajar mematuhi nasihat kerajaan untuk menjauhi acara luaran atau berkumpul di tempat awam.
Akibatnya, kehilangan tenaga pembantu sukarela ini turut menjejas kerja kerja amal kerana bantuan sukarelawan tiada lagi muncul kehadapan.
#aktiviti luar
#bantuan makanan
#China
#coronavirus disease 2019
#COVID-19
#DORSCON
#jingga
#kiasu
#NCP
#novel coronavirus pneumonia
#NTUC Fairprice
#pasar
#pasar raya
#pembeli rakus
#rak kosong
#sekatan
#Singapura
#stok makanan
#sukarela
#virus
#wabak