'Donald Trump yang bodoh, kenapa orang sepertinya wujud?'
Madiha Abdullah
Disember 8, 2015 18:23 MYT
Disember 8, 2015 18:23 MYT
Tidak habis-habis kontroversi aneh yang dicetuskan oleh jutawan yang kini mengejar kuasa dalam politik, Donald Trump, hinggakan banyak isu yang disebutkannya berkaitan etnik dan agama telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Terbaharu adalah mengenai cadangan Donald Trump agar umat Islam dihalang memasuki Amerika Syarikat yang bukan sahaja menyemarakkan reaksi tidak puas hati komuniti Islam di seluruh dunia, malah rakyat Amerika sendiri.
Lantaran kenyataannya berkaitan pengharaman kemasukan orang Islam ke Amerika, laman sosial dipenuhi pelbagai pendapat berhubung idea 'luar biasa' tersebut, dan kebanyakan daripadanya menyifatkan cadangan Trump sebagai bodoh dan merepek.
Ramai yang hairan manusia dengan pemikiran seperti Trump 'boleh dibiarkan wujud di muka bumi ini' dan ternyata cadangan seumpamanya memperlihatkan betapa singkatnya akal Trump.
Ada yang berpendapat Amerika Syarikat akan berhadapan dengan masalah besar jika Trump dipilih sebagai teraju negara itu.
Bukan setakat khalayak awam, malah tokoh-tokoh politik juga tidak ketinggalan melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Trump itu.
Pada Isnin, Trump yang merupakan calon Parti Republikan untuk jawatan Presiden Amerika, menggesa supaya umat Islam tidak dibenarkan memasuki negara itu.
Ia dibuat ekoran kejadian tembakan di California baru-baru ini yang melibatkan pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.
Sebelum menyerang imej Islam dalam ucapannya, Trump sebelum ini telah menimbulkan pelbagai kontroversi termasuk mengenai dasar-dasar berkaitan warga Amerika Selatan khususnya Mexico.