Donald Trump saman bekas perisik British, penulis dokumen Steele
Bernama
September 29, 2023 17:14 MYT
September 29, 2023 17:14 MYT
LONDON: Bekas presiden AS Donald Trump memfailkan saman terhadap bekas pegawai MI6 dan perundingan perisikan yang diasaskannya, menurut rekod Mahkamah Tinggi di Britain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Trump mengemukakan tuntutan perlindungan data terhadap Orbis Business Intelligence dan pengasasnya, Christopher Steele, yang sebelum ini mengendalikan agensi Perkhidmatan Perisikan Rahsia di Rusia.
Menurut perintah mahkamah yang diterbitkan pada Khamis, perbicaraan dua hari ditetapkan bermula pada 16 Okt, yang dipercayai sebagai perbicaraan pertama dalam tuntutan itu.
Tiada butiran lain telah disediakan, tetapi Trump dijangka tidak akan hadir.
Steele merupakan pengarang apa yang dipanggil dokumen Steele, yang termasuk dakwaan bahawa Trump telah "dikompromi" oleh perkhidmatan keselamatan Rusia, FSB.
Dokumen itu, yang dibocorkan kepada BuzzFeed pada 2017, juga mendakwa bahawa Vladimir Putin "menyokong dan mengarahkan" operasi untuk "mengusahakan" Trump sebagai calon presiden untuk "sekurang-kurangnya lima tahun".
Trump telah menafikan dakwaan itu.
Steele dan Orbis Business Intelligence sebelum ini disaman atas tuduhan fitnah oleh warga Rusia Aleksej Gubarev berhubung penerbitan dokumen itu, mendakwa mereka bertanggungjawab dari segi undang-undang atas penerbitan dokumen oleh BuzzFeed.
Bagaimanapun, dalam penghakiman pada Oktober 2020, Hakim Warby menolak tuntutan itu.
-- BERNAMA