"Donald Trump perkosa saya" - E. Jean Carroll
Agensi
April 26, 2023 05:45 MYT
April 26, 2023 05:45 MYT
NEW YORK: Seorang wanita yang juga bekas kolumnis terkenal Amerika Syarikat (AS), E. Jean Carroll memberitahu mahkamah di New York bahawa bekas Presiden negara itu, Donald Trump telah memperkosanya di bilik persalinan sebuah pusat beli-belah di kotaraya itu pada sekitar tahun 1996.
"Saya berada di sini kerana Donald Trump telah memperkosa saya dan apabila saya menulis mengenainya, beliau berkata ia tidak berlaku.
“Beliau berbohong dan merosakkan reputasi saya dan saya di sini untuk mencuba mendapatkan kehidupan saya semula," kata Carroll ketika memberikan keterangan di mahkamah.
Trump, 76, yang tidak hadir pada prosiding itu, bagaimanapun, menafikan tuduhan yang dibuat Carroll, 79.
Menceritakan detik-detik perkenalan, Carroll berkata, beliau bertembung dengan Trump di pintu masuk pusat beli-belah Bergdorf Goodman pada satu malam Khamis musim bunga tahun 1996.
Ketika itu, Carroll merupakan penulis dan penasihat majalah gaya hidup popular Elle sementara Trump pula merupakan seorang pemaju hartanah yang berjaya dan personaliti sosial masyhur di New York.
Kata Carroll, Trump pada ketika itu meminta nasihat daripadanya untuk membeli pakaian dalam kepada wanita tidak dikenali dan kemudian secara berseloroh mencadangkan masing-masing mencubanya.
Sebaik sampai di bilik persalinan dan menutup pintu, Trump, dakwa Carroll telah melompat ke arahnya dan menolak wanita itu ke dinding menyebabkan kepalanya terhantuk.
Sambil menekannya ke dinding, kata Carroll, Trump terus merogolnya dalam keadaan masih berpakaian sehingga beliau berjaya menolaknya dan berlari keluar dari bilik persalinan itu.
Selama bertahun selepas kejadian itu juga, Carroll berkata, beliau tidak pernah berkongsi dengan sesiapa kecuali dua rakannya kerana bimbang Trump akan bertindak balas atau terfikir ‘itu salah diri sendiri’ selain berpendapat banyak pihak akan menyalahkan mangsa rogol terhadap apa yang berlaku.
Trump dalam penafiannya sebelum ini mendakwa, beliau tidak berada di pusat beli-belah itu bersama Carroll dan tidak tahu siapa wanita berkenaan ketika pertama kali menceritakan kisah itu secara terbuka dalam memoirnya pada tahun 2019.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosialnya pada Rabu, Trump mendakwa kes itu sebagai "penipuan yang dibuat-buat."
Beliau juga menyebut peguam Carroll sebagai "penyokong politik".
Carroll yang memfailkan saman kedua ke atas Trump merupakan antara orang pertama yang mengemukakan tuntutan undang-undang di bawah Akta Orang Dewasa Terselamat yang dikhususkan untuk individu berusia 18 tahun ke atas.
Menerusi saman itu, Carroll menuntut ganti rugi punitif yang tidak ditentukan untuk impak psikologi, penderitaan dan kesan kepada reputasinya. - Agensi