Donald Trump diserang helang "Uncle Sam"

Nizam Bakeri
Disember 10, 2015 17:11 MYT
Ketika menghadiri sesi penggambaran untuk majalah TIME edisi Person of the Year, Donald Trump telah diserang oleh simbol Amerika, seekor helang botak.
Helang botak, atau nama saintifiknya, Haliaeetus leucocephalus telah lama menjadi simbol Amerika Syarikat.
Republik Rom suatu ketika dahulu banyak menggunakan simbol helang. Maka sebagai kuasa demokrasi baru, Kongres pada kurun ke-18 telah memilih helang botak sebagai simbol untuk cap mohor kerajaan Amerika Syarikat.
Maka tidak hairanlah apabila seekor helang botak yang bernama Uncle Sam menyerang Donald Trump di pejabatnya, hal ini dilihat seolah-olah menggambarkan pendirian Amerika yang sebenarnya “membenci” Trump.
Trump dan helang botak berusia 27 tahun itu bertemu untuk sesi penggambaran bagi majalah TIME edisi Person of the Year.
Trump disenarai pendek untuk gelaran tersebut namun hanya berada di tempat ketiga di belakang Angela Merkel (Canselor Jerman) dan Abu Bakar al-Baghdadi (ketua kumpulan militan ISIS), masing-masing di tempat pertama dan kedua.
Ketika penggambaran berlangsung, Trump kelihatan mencapai sebotol aspirin di meja beliau namun Uncle Sam serta-merta menerkam dan mengibas sayap ke arah Trump yang sempat mengelak.
Trump selepas itu kembali tenang dan memberi respon, “Burung ini sangat berbahaya tetapi sangat cantik.”
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Person of the Year #TIME
;