Donald Trump bebas tuduhan hasut penyokong merusuh

Astro Awani
Februari 13, 2021 04:56 MYT
Senat membebaskan Trump daripada pertuduhan bertanggungjawab menyebabkan rusuhan di Bangunan Capitol, Washington DC pada 6 Januari lalu. -Gambar fail
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) membebaskan bekas Presiden, Donald Trump daripada pertuduhan bertanggungjawab menghasut hingga menyebabkan rusuhan di Bangunan Capitol, Washington DC pada 6 Januari lalu.
Perbicaraan terhadapnya bermula minggu lepas dengan 100 anggota Senat bertindak sebagai juri.
Suara senat menunjukkan 57-43 undi, sekali gus gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi mensabitkan Trump dengan tuduhan menghasut pengikutnya.
Kegagalan mendapat majoriti dua pertiga itu menunjukkan beliau mendapat sokongan parti Republikan yang cuba membantu bekas Presiden itu daripada disabitkan tuduhan.
Hanya tujuh daripada 50 Senat Republikan bersama-sama Parti Demokrat menyokong pendakwaan terhadapnya.
Pihak pembelaan sebelum ini menegaskan pendakwaan ke atas Trump tidak mengikut perlembagaan dan tuduhan bahawa bekas presiden itu bertanggungjawab ke atas insiden rusuhan di Bangunan Capitol disifatkan tidak masuk akal.
Bagaimanapun dalam hujah pendakwaan pada peringkat praperbicaraan, pihak Demokrat menyatakan Trump melakukan jenayah paling besar dalam sejarah 232 tahun pemimpin nombor satu Amerika Syarikat kerana menghasut penyokong untuk menyerang Kongres pada 6 Januari lalu.
Sebelum ini, Presiden Joe Biden yang mula memasuki White House pada 20 Januari lalu enggan mengulas sama ada Trump perlu didapati bersalah atau dinafikan hak untuk memegang jawatan politik pada masa hadapan.
#Donald Trump #bebas tuduhan #cetus rusuhan #Capitol #hasut penyokong merusuh #Senat #gagal peroleh majoriti dua pertiga
;