Dokumentari dedah 1,400 pekerja asing maut demi membina stadium Piala Dunia

Agensi
Jun 19, 2019 12:31 MYT
Buruh binaan mengalihkan perancah di Stadium Al Bayt di Al Khor, Qatar. - AP
Sekurang-kurangnya 1,400 pekerja asing mati dalam usaha untuk membina stadium sempena Piala Dunia FIFA di Qatar pada 2022.
Itu pendedahan ‘Trapped in Qatar’, satu dokumentari oleh WDR, saluran televisyen Jerman yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.
Antara keluhan pekerja asing di negara itu yang kebanyakannya warga Nepal - tidak mendapat gaji; pasport dirampas; keadaan dan suasana hidup tidak berperikemanusiaan.
“Kami hidup seperti banduan. Setiap hari kami hanya mampu makan roti dan minum air. Tanpa gaji, kami tak mampu beli apa-apa,” kata salah seorang pekerja dari Nepal, Dil Prasad.
Katanya; “Saya tak boleh bertahan lagi. Saya nak pulang ke rumah. Kami langsung tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga di Nepal.”
Rakan sekerjanya Adi Gurung turut berkata bahawa bayaran gaji mereka sudah tertunggak selama beberapa bulan.
Pada bulan Mac, Adi dan Dil bersama sekumpulan rakan sekerja mengugut untuk berhenti kerja sekiranya mereka tidak mendapat gaji.
Kata Adi, majikannya hanya menyuruh mereka mencari pekerjaan lain.
“Masalahnya, kami tidak boleh mencari pekerjaan lain kerana pasport dan dokumen kami masih dipegang oleh majikan,” jelasnya.
Faktor kemalangan waktu bekerja dan keadaan hidup yang membahayakan yang dihadapi oleh pekerja asing di negara itu telah meragut dalam 110 nyawa setiap tahun, menurut statistik oleh kerajaan Nepal.
Berdasarkan tinjauan WDR oleh wartawan Benjamin Best di negara itu, eksploitasi terhadap pekerja asing masih berleluasa walaupun beberapa langkah reformasi telah diambil oleh kerajaan Qatar.
Antara tindakan yang diambil termasuk menghapuskan sistem kafala (sistem yang digunakan untuk memantau pekerja asing) pada 2016 serta beberapa perubahan pada sistem perlindungan gaji pekerja.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sistem kafala yang lazimnya dipraktikkan di Asia Barat melarang pekerja asing daripada memasuki atau meninggalkan sesebuah negara tanpa mendapat kebenaran majikan mereka.
Sistem ini sering dilaksanakan secara lebih mendalam, termasuk melibatkan majikan merampas dokumen dan pasport milik pekerja bagi menyekat kebebasan mereka.
ILO menggambarkan sistem ini sebagai satu bentuk perhambaan pada zaman moden.
Perubahan dalam undang-undang buruh di Qatar dilaksanakan berikutan pelbagai laporan mendakwa ribuan pekerja asing di negara itu terkorban dan cedera sejak pembinaan untuk Piala Dunia bermula pada 2011.
Satu laporan oleh International Trades Union Confederation pada 2013 menyatakan sekitar 1,200 pekerja asing maut pada tahun itu di samping menjangkakan lebih 4,000 lagi akan terkorban dalam baki tempoh sehingga persiapan selesai pada 2022.
Piala Dunia 2022 di Qatar bukan sahaja berhadapan masalah dari segi kebajikan pekerja bawahan, malah ia juga terlibat dalam isu rasuah pada tahap tertinggi.
Bekas Presiden UEFA, Michel Platini ditahan polis awal pagi Selasa di Paris, dipercayai bagi membantu siasatan isu rasuah berkaitan penganugerahan tuan rumah Piala Dunia 2022 kepada Qatar.
Penganugerahan hak penganjuran Piala Dunia kepada Qatar pada 2022 dibayangi unsur rasuah apabila tersebarnya e-mel bekas presiden FIFA Jack Warner, bahawa Qatar ‘membeli’ hak penganjuran tersebut.
#buruh #FIFA #ILO #Michel Platini #Nepal #pekerja asing #Piala Dunia #Qatar #Rasuah #UEFA
;