Dokumen rahsia kerajaan AS: Pembantu Trump mengaku tidak bersalah

Bernama
Julai 7, 2023 16:08 MYT
Pihak pendakwaan menuduh Nauta menyimpan kotak dokumen atas arahan Trump selepas tamat tempoh jawatan presidennya. - Foto AP
WASHINGTON: Penasihat kepada bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Walt Nauta yang turut didakwa berhubung pengendalian dokumen rahsia kerajaan mengaku tidak bersalah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Nauta membuat pengakuan itu menerusi peguamnya ketika hadir perbicaraan di mahkamah persekutuan di Miami pada Khamis, lapor media AS.
Pihak pendakwaan menuduh Nauta menyimpan kotak dokumen atas arahan Trump selepas tamat tempoh jawatan presidennya. Pihak pendakwaan menyifatkan perbuatan itu sebagai konspirasi untuk menghalang keadilan.
Pada Jun, Trump didakwa menyimpan dokumen rahsia kerajaan di ladang Mar-a-Lago miliknya di Florida dan gagal memulangkannya selepas diminta berbuat demikian.
Pada awal Ogos 2022, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyerbu rumah agam Trump dan merampas beberapa set dokumen sulit.
Calon presiden Republikan itu mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan di mahkamah Miami pada Jun.
Pada Rabu, Jabatan Kehakiman AS menerbitkan bahagian-bahagian lain dari satu dokumen yang menjadi asas kepada perintah menggeledah harta Trump. Sebahagian besar bahagian itu sudah boleh diakses selepas penyiasatan pada tahun lepas.
Petikan yang diterbitkan juga menunjukkan rakaman kamera pengawasan bangunan itu yang memaparkan seorang individu yang ditemu bual oleh FBI memindahkan banyak kotak - disyaki sebagai Nauta.
-- BERNAMA
#penasihat Trump #dokumen rahsia kerajaan AS #Walt Nauta #Washington
;