Dokumen perinci atur cara 'istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II' bocor

Agensi
September 5, 2021 10:00 MYT
Satu dokumen mengandungi pelan komprehensif pemakaman Ratu Elizabeth II didakwa didedahkan di laman web Politico. -Gambar fail/REUTERS
SEBUAH dokumen yang mengandungi atur cara istiadat pemakaman menjelang kemangkatan Ratu Elizabeth II didakwa bocor.
Pelan komprehensif yang dinamakan sebagai 'London Bridge' itu didedahkan di laman web Politico.
Memetik laporan media antarabangsa, dokumen 'rahsia' itu merangkumi setiap kemungkinan, daripada bagaimana keranda Ratu Elizabeth II akan dibawa ke London jika baginda meninggal dunia di luar kota, sehinggalah kepada kenyataan khusus mengenai pemberitahuan kemangkatan baginda.
Hari kemangkatan Ratu Elizabeth II akan disebut sebagai "D-Day", sebelum rancangan 10 hari menjelang pemakaman yang merujuk kepada setiap hari sebagai "D-1", "D-2", dan seterusnya.
Menurut laporan tersebut, Perdana Menteri, jeneral kanan dan duta besar akan menjadi individu pertama yang dimaklumkan mengenai kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Selepas Perdana Menteri membuat kenyataan, ia disusuli dengan ucapan penghormatan dan pengumuman sesi bertafakur selama seminit.
Selain itu, bendera di Whitehall akan diturunkan separuh tiang selepas emel dihantar, dan ia perlu dilakukan dalam masa 10 minit.
Kemudian, orang awam akan dimaklumkan mengenai kemangkatan Ratu Elizabeth II melalui "pemberitahuan rasmi" yang disampaikan oleh keluarga Kerajaan Britain.
Politico turut mendakwa perincian rancangan media sosial Istana Buckingham telah disiapkan, termasuk laman web rasmi keluarga diraja akan bertukar menjadi hitam, bersama kenyataan ringkas, manakala laman web kerajaan Britain akan dihiasi dengan kain rentang hitam.
Semua komunikasi jabatan yang tidak penting juga akan digantung, selain 'ulang siar' dilarang tanpa kelulusan peringkat atasan.
Perdana Menteri dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan raja baharu, sementara pada pukul 6 petang hari kemangkatan Ratu Elizabeth II, Putera Charles akan menyampaikan perutusan kepada rakyat di seluruh negara.
Putera Charles kemudian akan melakukan lawatan ke United Kingdom (UK) sebelum hari pemakaman selari dengan Operasi 'Spring Tide', rancangan untuk menabalkan baginda sebagai raja baharu.
Lawatan akan bermula di Edinburgh, Parlimen Scotland diikuti dengan lawatan ke Ireland Utara serta Wales.
Ratu Elizabeth II akan disemayamkan selama tiga hari di Istana Westminster atau disebut sebagai “Operation Feather”.
Orang awam turut dapat memberikan penghormatan terakhir selama 23 jam setiap hari, dengan raptai pemakaman dijadual berlangsung pada "D-6".
Ratu Elizabeth II akan dimakamkan di Istana King George VI Memorial Chapel.
Kerajaan Britain Siasat
Susulan kebocoran dokumen tersebut, Kerajaan Britain dilaporkan telah melakukan siasatan.
The Sydney Morning Herald melaporkan, sumber kanan kerajaan yang enggan mendedahkan identiti memaklumkan Pejabat Kabinet telah memulakan siasatan tersebut.
Sumber itu berkata: "Secara dalaman ada siasatan mengenai versi mana yang telah dibocorkan dan sejauh mana ia sensitif.
"Sekiranya ternyata versi lama yang diedarkan secara meluas dan tidak termasuk kandungan yang paling sensitif, ia mungkin tiada tindakan lanjut.
"Namun, jika dokumen yang diedarkan itu adalah versi lengkap, misalnya 10 orang, maka Pejabat Kabinet akan melancarkan siasatan rasmi."
Sumber sama menambah, kebocoran dokumen tersebut "menyebabkan kebimbangan" terhadap aspek keselamatan yang perlu diambil kira terhadap versi rancangan akan datang.
Sumber turut menyifatkan penyebaran dokumen tersebut sebagai tidak sensitif dan tidak wajar berlaku memandangkan ia tidak lama selepas kemangkatan suami Ratu Elizabeth II.
Ratu Elizabeth II yang kini berusia 95 tahun ialah Ratu United Kingdom dan 15 wilayah Komanwel sejak 1953 selepas kemangkatan mendiang paduka ayahanda baginda Raja George VI.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !

#Kemangkatan Ratu Elizabeth II #dokumen bocor #london bridge #perancangan terperinci
;