Dokumen Israel punca beberapa negara henti dana kepada UNRWA

Astro Awani
Januari 30, 2024 08:30 MYT
Rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan tentera rejim Zionis Israel terpaksa mendirikan khemah di Rafah. - Foto AP
DOKUMEN risikan Israel menjadi punca sekumpulan negara menghentikan dana bagi Agensi Bantuan untuk pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) sekaligus menambah derita rakyat Palestin.
Dokumen Israel itu menuduh beberapa kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam penculikan dan pembunuhan semasa serangan Hamas 7 Oktober lalu terhadap Zionis.
Dokumen setebal enam muka surat itu mendakwa, kira-kira 190 pekerja UNRWA termasuk guru merupakan pejuang Hamas atau pejuang kumpulan Islam lain.
Dokumen tersebut turut memaparkan nama dan gambar 11 individu daripada keseluruhan mereka.
Palestin telah menuduh Israel memalsukan maklumat untuk memburukkan UNRWA.
Menurut dokumen itu, salah seorang daripadanya adalah kaunselor sekolah yang membantu anaknya menculik seorang wanita semasa penyusupan Hamas di Israel.
Seorang lagi, pekerja sosial UNRWA, dituduh terlibat secara tidak langsung dalam pemindahan mayat tentera Israel yang terbunuh ke Gaza dan menyelaraskan pergerakan trak pikap dan bekalan senjata.
Warga Palestin ketiga dalam dokumen itu dituduh mengambil bahagian dalam kejadian amuk di perkampungan sempadan Israel, Beeri.
Sementara itu, Menteri Luar Israel, Katz berkata, ketua UNRWA, Philippe Lazzarini perlu meletak jawatan kerana kononnya pekerja UNRWA turut serta dalam serangan Hamas.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menuduh Israel melakukan "serangan politik yang dirancang" ke atas agensi itu dan menggesa pemulihan dana bantuan.
Dokumen itu ditunjukkan kepada Reuters oleh sumber yang tidak dapat dikenal pasti.
Sumber itu berkata, ia telah disusun oleh perisikan Israel dan dikongsi dengan Amerika Syarikat (AS) yang pada Jumaat lalu telah menggantung pembiayaan untuk UNRWA.
Agensi itu menggaji 13,000 orang di Gaza.
Lebih daripada 10 negara, termasuk penderma utama AS dan Jerman telah menghentikan pembiayaan mereka kepada agensi itu.
#Israel #UNRWA #Hamas #dana
;