Doktor tersilap isytihar kematian, warga emas hampir disemadikan
Agensi
Mei 3, 2022 22:06 MYT
Mei 3, 2022 22:06 MYT
GARA-GARA anggota perubatan di Shanghai, China tersilap mengisytihar kematian, seorang warga emas hampir disemadikan.
'Mayat' warga emas berkenaan sebelum itu dimasukkan dalam bungkusan beg berwarna kuning dan diletakkan dalam sebuah kereta mayat.
Berdasarkan video yang dikongsi di media sosial pada Ahad, beberapa kakitangan memakai persalinan lengkap PPE dilihat sedang memeriksa beg mayat warga emas yang juga penghuni pusat jagaan orang tua di negara itu.
Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapati warga emas berkenaan dilihat masih bernyawa apabila bungkusan di bahagian kepala mula dibuka.
Sementara itu rata-rata netizen mengecam pusat jagaan orang tua dan kakitangan pengurusan mayat berkenaan kerana menghantar penghuni yang masih hidup ke rumah mayat.
Kejadian itu turut mendapat respons Kerajaan China dan lelaki itu disahkan berada dalam keadaan stabil.
Susulan itu, tiga pegawai biro perhubungan awam daerah dan pejabat pembangunan sosial serta ketua pusat jagaan warga emas berkenaan dipindahkan.
Pihak berkuasa turut membatalkan sijil doktor yang terlibat dengan kes 'kematian' berkenaan, dan dia kini berada dalam siasatan polis.