Doktor terpendek di dunia
Sinar Harian
Mac 16, 2024 15:19 MYT
Mac 16, 2024 15:19 MYT
NEW DELHI: Tiada siapa sangka seorang lelaki di India dinobatkan doktor terpendek di dunia apabila hanya mempunyai ketinggian tiga kaki atau 91 sentimeter.
Ganesh Baraiya yang berusia 23 tahun dilahirkan secara normal di Talaja Thaluka di Gujarat, India sebelum menjadi doktor telah berdepan dengan pelbagai halangan demi mengejar cita-cita untuk membanggakan ibu-bapanya.
Semasa berusia empat tahun, ibu-bapanya menyedari bentuk fizikalnya yang pelik apabila kepalanya lebih besar daripada badannya.
Bagi mencari kepastian mereka membawanya berjumpa doktor dan petugas perubatan memberitahu anaknya mengidap penyakit dwarfisme atau kerdil.
Bagi membantu anaknya, mereka meletakkan topi keledar di kepalanya sebagai usaha menyeimbangkan pertumbuhan anggota badan lain supaya menjadi normal.
Bagaimanapun, usaha mereka ternyata sia-sia apabila bentuk tubuh Baraiya masih kelihatan seperti terbantut dan atau tidak normal seperti kanak-kanak lain.
Di sekolah, Baraiya sering diejek kerana kepalanya besar dan bertubuh pendek, tetapi mujurlah dia mempunyai beberapa rakan karib yang bersamanya untuk belajar bersama.
Pernah, bapanya yang bekerja sebagai petani bercadang membawanya ke sarkas untuk menjadi badut.
Namun, hasratnya terhenti apabila dia bimbang keselamatan anaknya dan sejak itu menggalakkan anaknya menumpukan perhatian di sekolah sambil mengejar cita-cita Baraiya menjadi seorang doktor.
Semasa di universiti, Baraiya memohon pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBSS), tetapi permohonannya ditolak mentah-mentah kerana bertubuh kerdil.
Walaupun keputusan ujiannya cemerlang, Majlis Perubatan India menolak permohonannya kerana bertubuh kerdil dan mendakwa dia tidak mungkin melaksanakan tugasnya semasa kes kecemasan.
Baraiya tidak berputus asa dan dengan bantuan pengetua sekolahnya, dia berjumpa dengan Ketua Daerah dan pernah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi Gujarat.
Malangnya, tiada satu pun hasilnya berjaya dan akhirnya nasib menyebelahinya apabila kes itu sampai ke Mahkamah Agung India dan selepas itu dia berjaya menyambung pengajian dalam bidang MBSS.
"Saya sangat kecewa tiga tahun lalu kerana permohonan saya ditolak, namun saya sangat gembira kerana telah mendapat keadilan daripada Mahkamah Agung.
"Sekarang saya sedang memenuhi impian sejak kecil dan dapat membanggakan ibu-bapa saya," katanya.
Sekarang Dr Baraiya masih lagi menangani diskriminasi apabila ramai pesakitnya enggan berurusan dengannya apabila melihat saiz tubuhnya.
"Setiap kali pesakit melihat saya, mereka agak terkejut pada mulanya, tetapi lama kelamaan mereka menerima saya dan semakin mesra dengan saya," kata Dr Baraiya.
Walaupun dia masih belum diiktiraf oleh Guinness Book of Records, dia dipuji sebagai doktor terpendek di dunia kerana ia menceritakan kisah kesukaran yang terpaksa dia hadapi demi mengejar cita-citanya itu. - Agensi
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian