Doktor muda di UK cadang mogok sehingga Januari tahun depan

Bernama
Julai 5, 2023 14:18 MYT
HCSA di England akan melanjutkan mogok mereka selama enam bulan lagi selepas 96.5 peratus ahlinya menyokong keputusan itu. -AP
LONDON: Doktor muda di seluruh England mengundi untuk melanjutkan mogok sehingga sekurang-kurangnya Januari 2024, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Persatuan Perunding dan Pakar Hospital (HCSA) di England akan melanjutkan mogok mereka selama enam bulan lagi selepas 96.5 peratus ahlinya menyokong keputusan itu.
Dalam surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri Rishi Sunak, presiden HCSA Dr Naru Narayanan meminta Sunak " untuk berani" dan memberi ruang kepada perunding kerajaan untuk mencari jalan keluar daripada pertikaian ini.
"Kegagalan untuk berunding mengenai rungutan sebenar doktor muda adalah sesuatu yang tidak dapat difahami.
"Kerajaan perlu mengakui dan menangani rungutan doktor hospital untuk mencari penyelesaian jangka panjang mengenai gaji.
"Doktor muda hari ini telah menunjukkan keazaman mereka dalam pertikaian yang telah berlangsung terlalu lama tetapi disebabkan oleh kedegilan kerajaan, ia boleh berlarutan hingga musim sejuk.
"Kami menggesa Rishi Sunak dan kerajaannya berunding untuk mencapai penyelesaian jangka panjang - yang memenuhi rungutan sebenar doktor muda ... Ada jalan keluar dari pertikaian ini," kata Dr Narayanan.
-- BERNAMA
#England #Doktor muda mogok #Persatuan Perunding dan Pakar Hospital #Naru Narayanan
;