Doktor mabuk lakukan pembedahan hingga ibu, bayi meninggal dunia
Agensi
November 29, 2018 10:42 MYT
November 29, 2018 10:42 MYT
Seorang doktor di Gujarat, India ditahan selepas dipercayai melakukan pembedahan ke atas wanita hamil dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan wanita itu dan bayi yang dilahirkan meninggal dunia.
Mangsa, Kamini Chachi dikejarkan ke hospital itu pada Isnin lalu selepas mengadu sakit hendak bersalin, lapor BBC News.
Selepas beberapa jam menunggu, keluarga mangsa diberitahu bahawa bayi Kamini telah meninggal dunia manakala wanita itu mengalami pendarahan teruk.
Risau akan keselamatan Kamini, ahli keluarga mengambil keputusan memindahkannya ke sebuah hospital swasta tetapi mangsa meninggal dunia dalam perjalanan.
Dalam satu kenyataan kepada media, pihak polis berkata, Dr PJ Lakhani menghubungi pihaknya kerana bimbang diserang keluarga mangsa setelah mengetahui tentang kematian itu.
"Ketika tiba di hospital, kami mendapati suspek berada dalam keadaan mabuk, dan bertindak menahannya," kata seorang anggota polis.
Malah ujian pernafasan yang dilakukan terhadap doktor kanan yang telah mempunyai 15 tahun pengalaman itu mengesahkan beliau mabuk.
Ekoran kejadian itu, pihak Hospital Sonavala dilaporkan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kematian mangsa dan bayinya.