Doktor keluarkan 40 pisau lipat dari perut pesakit di India
Kohilah Sekaran
Ogos 23, 2016 19:06 MYT
Ogos 23, 2016 19:06 MYT
KEADAAN seorang pesakit dari India semakin pulih selepas pakar perubatan berjaya mengeluarkan 40 pisau lipat dari perutnya.
Memetik laporan portal CNN, seorang lelaki berusia 42 tahun menjalani pembedahan rumit selama lima jam di Amritsar, Punjab, pada Jumaat lalu selepas mengadu mengalami sakit perut.
Pakar perubatan yang mengambil imbasan CT, terkejut melihat keputusan laporan pesakit tersebut.
Difahamkan, pesakit berkenaan yang tidak mahu identitinya didedahkan, menghadapi ketagihan untuk memakan pisau lipat sama seperti ketagih alkohol.
Malah, ia telah menjadi satu kebiasaan untuknya.
"Dia mempunyai satu ketagihan yang luar biasa. Malah bagi kami, sebagai pakar bedah yang berpengalaman, ia adalah satu perkara yang menakutkan," kata Dr Jatinder Malhotra kepada CNN.
"Kami begitu gementar... satu kesilapan kecil boleh menjejaskan nyawa pesakit itu. Dalam pengalaman 20 tahun, saya tidak pernah melihat perkara seumpama itu."
Dr Malhotra berkata, mereka mengambil kira-kira dua hari untuk membentuk pelan diagnosis dan strategik pembedahan.
Menurut Dr Malhotra, pisau lipat itu berukuran kira-kira tujuh inci (17.78 sentimeter) apabila dibuka sepenuhnya.
Pesakit, yang juga seorang bapa kepada dua anak, memohon maaf atas perbuatannya dan mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana berjaya menyelamatkan dia.
"Saya minta maaf, dan saya akan sentiasa berterima kasih kepada doktor dan kakitangan hospital kerana menyelamatkan nyawa saya," kata pesakit itu.