Doktor Itali paling tua di Eropah, gelombang persaraan memuncak pada 2025
Bernama
September 12, 2024 17:05 MYT
September 12, 2024 17:05 MYT
ROM: Doktor Itali merupakan yang paling tua di Eropah dengan 55 peratus daripada mereka berusia lebih 55 tahun dan jumlah persaraan dijangka memuncak pada 2025, kata Persatuan Geriatrik Hospital dan Wilayah Itali (SIGOT) pada Rabu.
Agensi berita Itali, ANSA melaporkan bahawa SIGOT berkata gelombang persaraan - dengan dianggarkan 13,156 doktor layak bersara pada 2025 - akan direkodkan ketika profesional perubatan menghadapi permintaan bantuan yang semakin meningkat akibat penuaan penduduk.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh biro statistik kebangsaan ISTAT tahun ini, dalam tempoh dua dekad yang lepas penduduk berusia lebih 65 tahun telah meningkat lebih tiga juta kepada 14.3 juta orang di Itali.
Pada masa yang sama, pada 2021, di Itali 55 peratus doktor berusia lebih 55 tahun, berbanding 44.5 peratus di Perancis, 44.1 peratus di Jerman, dan 32.7 peratus di Sepanyol berusia lebih 55 tahun.
Selepas kemuncak yang dijangka pada 2025, Presiden SIGOT yang bertugas di Hospital San Giovanni-Addolorata, Rom, Lorenzo Palleschi berkata: "hanya pada 2030 kita akan kembali ke paras tahun 2020, dengan 7,471 persaraan tahunan".
-- BERNAMA