Doktor Australia dibebaskan selepas 7 tahun diculik di Afrika Barat
Bernama
Mei 19, 2023 18:25 MYT
Mei 19, 2023 18:25 MYT
SYDNEY: Seorang doktor Australia berusia 88 tahun dibebaskan selepas lebih tujuh tahun ditahan di Afrika Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan kerajaan Canberra pada Jumaat.
"Saya berbesar hati mengumumkan bahawa Dr Kenneth Elliott telah dibebaskan selepas lebih tujuh tahun dalam tahanan di Afrika Barat
"Dr Elliott selamat dan sihat dan telah disatukan semula dengan isterinya, Jocelyn dan anak-anak mereka," kata Menteri Luar Australia Penny Wong dalam satu kenyataan.
Kenneth dan Jocelyn Elliott diculik oleh kumpulan militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan al-Qaeda pada 2016 di Burkina Faso, tempat kediaman mereka dan mempunyai klinik perubatan selama lebih 40 tahun, menurut laporan media Australia.
Jocelyn Elliott dibebaskan lewat tahun itu.
"Kami lega Dr Elliott bebas dan berterima kasih kepada kerajaan Australia dan semua yang terlibat dalam pembebasannya.
"Pada usia 88 tahun dan selepas bertahun-tahun jauh dari rumah, Dr Elliott kini memerlukan masa dan privasi untuk berehat dan membina semula kekuatannya. Kami berterima kasih atas pemahaman dan simpati anda," kata keluarga Elliott dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA