DOJ jumpa 6 lagi dokumen sulit di rumah Joe Biden

Astro Awani
Januari 22, 2023 09:50 MYT
Beberapa petugas DOJ dilihat di kediaman Joe Biden bagi melakukan pelncarian dokumen sulit. - Foto AP
WILMINGTON: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menjumpai enam lagi dokumen sulit di kediaman Presiden Joe Biden di Wilmington, Delaware.
Penemuan itu dibuat ketika pencarian dengan kebenaran pada Jumaat yang berlangsung hampir 13 jam, kata peguam peribadi Bob Bauer dalam satu kenyataan, Sabtu.
Beberapa dokumen sulit dikesan bertarikh bermula dari tempoh Biden di Senat di mana beliau mewakili Delaware dari 1973 hingga 2009, lapor CNBC.
Manakala beberapa dokumen lain adalah dari tempoh beliau sebagai naib presiden dalam pentadbiran Obama, dari 2009 hingga 2017, kata Bauer.
DOJ juga dilapor merampas beberapa nota ditulis Biden dengan tangan sebagai naib presiden, menurut peguam dan White House.
Difahamkan Biden dan isterinya Jill Biden tidak hadir semasa pencarian dibuat.
Sebilangan kecil rekod sulit pertama kali dijumpai peguam Biden pada 2 November di pejabat peribadi yang disimpan Washington DC selepas menamatkan perkhidmatan sebagai naib presiden dalam pentadbiran Obama pada 2017.
White House hanya mendedahkan penemuan itu pada 9 Januari.
Satu halaman bahan terperingkat kemudian ditemukan di kediaman Wilmington pada 11 Jan, dan banyak lagi pada hari berikutnya.
Pencarian pada Jumaat adalah pendedahan pertama secara terbuka oleh pihak berkuasa yang menjalankan carian dokumen kerajaan di kediaman peribadi Biden.
#Joe Biden #DoJ #dokumen sulit #Bob Bauer
;