Doctors Without Borders bimbang penularan mpox di Afrika

Bernama
Ogos 17, 2024 13:50 MYT
Kanak-kanak sangat terdedah kepada mpox, yang menyumbang 56 peratus daripada kes dan 79 peratus angka kematian tahun ini. -Gambar fail/Reuters
NAIROBI: Badan amal perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF) menyuarakan kebimbangan mengenai penularan varian baharu mpox yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet di Congo, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Selain daripada mutasi terkini, kami juga bimbang dengan hakikat bahawa penyakit ini telah menular dengan cepat di kem-kem pelarian sekitar Goma," kata pakar kesihatan global MSF, Jasmin Behrends.
MSF baru-baru ini mempergiat operasi di timur Congo, dengan sejumlah besar orang terpaksa melarikan diri akibat konflik bersenjata.
"Tanpa akses yang lebih baik kepada vaksin, ribuan orang tidak dapat melindungi diri mereka daripada jangkitan, termasuk kanak-kanak di bawah usia 15 tahun," kata penyelaras MSF di kawasan itu, Justin Eyong.
Kanak-kanak sangat terdedah kepada mpox, yang menyumbang 56 peratus daripada kes dan 79 peratus angka kematian tahun ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam sebagai tindak balas terhadap wabak itu di Afrika.
-- BERNAMA
#cacar monyet #mpox #Doctors Without Borders #Pertubuhan Kesihatan Sedunia